Pulangkan semula sisa radioaktif Lynas ke Australia - Utusan Malaysia

Pulangkan semula sisa radioaktif Lynas ke Australia

MOHIDEEN ABDUL KADER dan S. MAGESWARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Sekitar (SAM) menggesa Kerajaan Pusat mengalihkan atau menghantar semula sisa radioaktif yang dihasilkan daripada aktiviti perlombongan oleh Lynas Rare Earths Ltd. (Lynas) ke Australia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka melahirkan kecewa kerana sisa radioaktif tersebut tidak dialihkan ke Australia sedangkan ia boleh disimpan di kawasan separa gersang dan terpencil di tapak Mount Weld iaitu lokasi perlombongan bahan mentah untuk kilang Lynas.

Sehubungan itu, tambah mereka, Malaysia harus berurusan dengan kerajaan Australia berhubung proses pengendalian serta pengangkutan selamat untuk membawa pulang sisa radioaktif itu ke Australia menurut konvensyen antarabangsa yang berkaitan.

Jelas mereka, ini kerana sisa radioaktif itu tidak berada di bawah skop Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya.

“Dalam hal ini, kita seharusnya tidak lagi memikul beban menyimpan sisa radioaktif untuk beberapa generasi akan datang,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Setiausaha Kehormat SAM, S. Mageswari.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju mengekalkan syarat awal iaitu agar Lynas berhenti mengimport dan memproses pekatan lantanid di negara ini selepas Julai 2023.

Ini bermakna, syarikat itu hanya boleh menapis bahan tersebut di kilang mereka iaitu di Gebeng, Pahang manakala aktiviti ‘cracking & leaching’ (C&L) pekatan lantanid tidak boleh dilakukan di sini.

Pembaharuan lesen untuk tempoh tiga tahun yang diberikan kepada Lynas pada tahun 2020 juga memberi syarat kepada syarikat itu bagi membangunkan kemudahan pelupusan kekal atau ‘permanent disposal facility’ (PDF) untuk sisa radioaktifnya dan tidak lagi mengimport bahan pekatan lantanid itu ke Malaysia mulai Julai 2023.

Dalam pada itu, mereka mendakwa, sepanjang beroperasi di negara ini, Lynas masih belum menyediakan PDF untuk sisa daripada proses Water Leach Purification (WLP) yang mengandungi sisa radioaktif termasuk torium dan uranium.

Katanya, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk PDF di Gebeng yang diluluskan pada Disember 2021 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menimbulkan kebimbangan disebabkan kesesuaian tapak dari segi keselamatan dan alam sekitar kerana terletak di kawasan banjir serta paya gambut dan kelulusan EIA itu kini dicabar oleh rakyat yang prihatin.

“Pada pendapat kami, mana-mana tapak yang dipilih untuk PDF adalah bermasalah susulan wujud kebimbangan sama ada sisa radioaktif itu boleh dilupuskan dengan selamat kerana ia adalah radioaktif selama ratusan tahun atau berabad-abad.

“Untuk pengetahuan, sisa WLP ini mengandungi radionuklid torium yang aktif selama 14 bilion tahun,” ujar mereka.

Tambah mereka, kesan buruk yang terhasil daripada sinaran radiasi tahap rendah itu tidak boleh diabaikan kerana berbahaya untuk jangka masa panjang dan boleh menyumbang kepada risiko kanser secara keseluruhannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya