KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan, sasaran utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini adalah kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat dan tidak lagi hanya kepada kes kecil.
Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPRM akan melaksanakan siasatan dan pencegahan berkesan, yang pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat, dalam usaha kerajaan menangani rasuah.
“Kalau dulu kita buang masa dan tenaga untuk tumpukan perhatian tangkap ikan bilis dan ini tidak akan membantu. Sasaran utama SPRM adalah pengurusan efektif berkesan dalam isu pencegahan, dalam masa yang sama keyakinan masyarakat usaha memerangi rasuah.
“Beberapa kes yang saya sebut berskala besar termasuk skandal air terbesar di Sabah melibatkan infrastruktur RM3.3 bilion melalui Ops Water, setakat ini aset yang diperolehi RM63 juta dan kes masih di mahkamah.
“Kedua, sindiket bitcoin mencuri bekalan elektrik kerugian RM2 ke RM3 billion bagi tempoh 2018 sehingga 2021 Ops Power,” katanya dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Menjawab isu Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, Anwar berkata, perkara itu akan menjadi masalah sekiranya seseorang pemimpin itu menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri.
“Yang masalahnya adalah guna kedudukan rompak harta rakyat dan ini terpakai di banyak kalangan yang bersih sama ada belah sini, sana, jangan bimbang.
“Tetapi yang terpalit dengan rasuah, itu yang harus berasa tertekan dan bimbang, tetapi saya bertekad apa pun telahan dibuat saya akan tekad. Kerajaan Perpaduan, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang rasuah yang berleluasa,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya).
Mengulas lanjut, Anwar turut tidak menolak kebenaran yang ketirisan serta peningkatan hutang negara banyak berlaku pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, katanya, perkara itu turut berlaku di bawah PN sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ke sembilan.
“Ada kebenaran menyatakan bahawa kerajaan BN dulu ada ketirisan dan kes terlibat seperti 1MDB, tetapi dalam PN juga berlaku kerosakan seperti perbelanjaan jana wibawa dan isu tebatan banjir.
“Beberapa ketirisan lain dalam siasatan, ada yang tanya kenapa belum siasat, itu siasatan SPRM dan pihak berkuasa, dan ada tindakan undang-undang, itu urusan Peguam Negara. Kalau sabar, dalam masa terdekat ada berita baik untuk rakyat,” katanya.
Menjawab soalan lain, Anwar berkata, akta pendanaan politik akan diwujudkan setelah penelitian dibuat oleh pihak yang berkaitan sebelum ia dibentangkan ke Jawatankuasa Pemilihan.
Perdana Menteri berkata, pihaknya bagaimanapun komited untuk meneruskannya dan berharap ia dapat dibuat dalam masa terdekat.
“Kita telah memberikan penjelasan dan ada komitmen untuk teruskan, tetapi di peringkat awal setelah kita lihat laporan yang dikemukakan, saya percaya jabatan berkenaan akan meneliti termasuk SPRM, parti-parti politik sebelum ia dikemukakan ke Jawatankuasa Pemilihan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan susulan kerajaan berhubung cadangan penggubalan undang-undang berkaitan pendanaan politik dan adakah ia akan diusahakan dalam masa terdekat. – UTUSAN










