Perak mohon peruntukan tambahan naik taraf Jabatan Kecemasan HRPB - Utusan Malaysia

Perak mohon peruntukan tambahan naik taraf Jabatan Kecemasan HRPB

A. SIVANESAN (kanan) menjalani pemeriksaan kesihatan pada program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak memohon peruntukan tambahan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagi memberi keselesaan kepada pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustaffa untuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta.

“Jumaat ini, saya dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan HRPB akan bertemu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan beberapa isu fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Sebelum ini, ada peruntukan yang dijanjikan oleh Menteri Kesihatan terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menaik taraf Unit Kecemasan HRPB yang telah diluluskan, tetapi saya mahu memohon peruntukan tambahan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di sini hari ini.

Menurut Sivanesan, kerajaan negeri memerlukan peruntukan tamabahan kerana kos untuk menaik taraf hospital meningkat disebabkan kenaikan harga barang.

Beliau berkata, ini termasuk pembinaan Hospital Kampar yang baharu yang perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan kelulusan sudah dibuat pada tahun 2019.

Beliau berkata, pembinaan tersebut perlu direalisasikan kerana ia sudah dipersetujui semua pihak termasuk KKM melibat kawasan baharu yang telah dikenal pasti.

“Walaupun Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam proses pembinaan hospital tetapi itu bukan hospital kerajaan, kerana keadaan Hospital Kampar kini tidak kondusif untuk kegunaan pesakit mahupun kakitangan,” katanya.

Sementara itu, Sivanesan berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai seorang pesakit wanita diminta meninggalkan Hospital Kampar oleh pegawai perubatan bertugas, kerana wanita itu berpakaian kurang sopan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 12 Februari lalu apabila seorang wanita hadir di Jabatan Kecemasan Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai bertugas menegur pakaian kurang sopan yang dipakai wanita berkenaan sebelum wanita itu bertindak meninggalkan kaunter di unit kecemasan hospital berkenaan.

“Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya tahu pakaian yang sesuai untuk pergi ke tempat-tempat tertentu.

“Tetapi dalam keadaan kecemasan pakaian apa pun orang tak marah. Jadi saya perlu dapatkan penjelasan kedua-dua belah pihak mengenai isu ini dalam kadar segera.

“Saya tak boleh nak salahkan sesiapa tetapi perkara ini saya akan siasat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya