KANGAR: Sebarang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah terletak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh menentukan sama ada ia diterima atau sebaliknya.
Abu Bakar bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat usaha ke arah itu akan berlaku memandangkan jika daripada sudut bilangan wakil rakyat antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seimbang.
“Tidak ada ada masalah, bagi saya ia perkara biasa sahaja. Tapi apa pun bergantung kepada Speaker lah, insya-Allah.
“Penangguhan sidang DUN ini juga telah dimaklumkan kepada Speaker sebelum surat rasmi dikeluarkan dan persetujuan (perkenan) telah pun diperoleh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Abu Bakar memberi jaminan sidang DUN Perlis akan berlangsung selewat-selewatnya sebelum 8 Jun depan.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai jangka masa sehingga bulan Jun iaitu mengikut peraturan perlu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan selepas persidangan terdahulu dan penangguhan itu bukan suatu perkara luar biasa.
Katanya, ia adalah percaturan biasa dan langkah penangguhan juga bagi memastikan kerajaan negeri membuat persediaan sebaiknya bagi memastikan perjalanan sidang nanti berjalan lancar.
“Dalam keadaan hari ini, kita sedang melihat beberapa perkara yang akan diperbaiki lagi dan paling penting memberi ruang untuk kita susun semula bagi memastikan persidangan DUN berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Kita kena susun balik dalam keadaan pentadbiran saya yang baru menjengah lebih tiga bulan. Saya pun baru lagi, Setiausaha kerajaan negeri juga baharu. Dalam keadaan ini, kita perlu melihat beberapa perkara yang akan diperbaiki selain pentingnya untuk kita hendak susun semula bagi memastikan persidangan DUN ini berjalan sempurna.
“Jadi ia ambil sedikit masa lah. Dalam politik, kita tidak pernah kenal rasa takut, jadi tidak timbul saya takut atau sebagainya.
“Setiap pemimpin ada cara tersendiri, kepemimpinan terdahulu sekali pun ada caranya tersendiri dan sebagai Menteri Besar, saya ada cara saya. Saya akan buktikan bahawa persidangan DUN akan bermula sebelum 8 Jun depan iaitu lebih kurang sebulan lagi,” katanya.










