KUALA LUMPUR: Tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara memeterai 16 perjanjian strategik membabitkan penyelidikan berkaitan sistem peluru berpandu dan balistik serta teknologi dron taktikal dengan pemain industri pertahanan.
Perjanjian dimeterai sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di sini, semalam.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, lebih 75 peratus daripada 16 perjanjian yang dimeterai menjurus kepada bidang teknologi pertahanan dan pemindahan ilmu teknikal.
Perjanjian itu melibatkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membabitkan tujuh Memorandum Perjanjian (MoA), empat Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan dua Surat Niat (LoI).
UPNM merekodkan pemeteraian kerjasama strategik tertinggi sebanyak 14 perjanjian, manakala UMPSA dan UniMAP masing-masing satu perjanjian.
“Ia merangkumi sistem peluru berpandu dan balistik artileri, teknologi dron dan sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, serta teknologi roket dan satelit. Bidang lain yang turut diberi tumpuan termasuk sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, teknologi roket dan satelit serta sistem penyulitan dan penjejakan tentera.
“Perkembangan ini mencerminkan peranan baharu universiti awam sebagai bukan sekadar pusat akademik, tetapi rakan strategik dalam pembangunan teknologi pertahanan negara,” kata Azlinda kepada pemberita selepas Majlis MOU dan MoA KPT Bersama rakan industri pertahanan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.
Menurutnya, penyertaan di bawah Astaka KPT itu merupakan peluang keemasan bagi mempertemukan hasil kajian ahli akademik dengan pemain industri pertahanan secara langsung.
“Ini adalah satu platform untuk universiti awam mengetengahkan produk-produk inovasi yang telah dihasilkan.
“Ia membolehkan inovasi yang belum dipilih oleh pihak industri untuk dinilai dan disesuaikan dengan keperluan sektor keselamatan.
“Kita kumpulkan inovasi ini di satu pavilion supaya mudah untuk pihak industri melihat, menilai, dan mengenal pasti produk yang sesuai bagi memperkayakan lagi jalinan kerjasama strategik antara mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pameran di Astaka KPT, Azlinda berkata, pelbagai inovasi praktikal menarik perhatian pengunjung, yang mana ia turut menyokong Dasar Industri Pertahanan Negara. – UTUSAN










