Perak lihat keperluan mesin sanitari di sekolah rendah - Utusan Malaysia

Perak lihat keperluan mesin sanitari di sekolah rendah

SALBIAH Mohamed (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kit asas sanitari wanita kepada pelajar pada program di SMK Raja Chulan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan melihat keperluan untuk menempatkan mesin layan diri sanitari di kawasan strategik termasuk kawasan luar bandar dan sekolah rendah sebagai langkah menangani isu kemiskinan haid dalam kalangan remaja dan wanita golongan B40 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, jika di peringkat sekolah, pihaknya akan melihat keperluan mesin itu di sekolah rendah melalui laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Jika dahulu proses datang haid ini sudah masuk ke fasa umur sekolah menengah, jadi kita tak bagi pendedahan terhadap pelajar sekolah rendah .

“Tetapi apabila saya tanya tadi rata-rata, pelajar-pelajar ini datang haid seawal di sekolah rendah, mungkin ada keperluan untuk mesin layan diri sanitari di sekolah, sekiranya perlu, kita akan wujudkan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberikan bantuan seumpama ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Kemiskinan Haid Pemberian Kit Asas Sanitasi Wanita Negeri Perak (Prokis) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak, Jamilah Zakaria dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) JPN, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Salbiah berkata, program Prokis diteruskan bagi membantu meringankan beban golongan wanita dan remaja B40.

Katanya, kerjasama bersama JPN diadakan bagi melaksanakan program membendung dan mengatasi masalah gangguan seksual, penderaan serta pendedahan ilmu penjagaan sistem reproduktif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di sekolah.

“Program ini akan digerakkan secara bersama oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi menyampaikan maklumat kesedaran, tips keselamatan diri, jenayah pornografi dan lain-lain,” katanya.

Menurut Salbiah, Perak telah mula melakukan kajian berkaitan kemiskinan haid bagi mendapatkan gambaran terperinci bagi menangani isu itu.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan kira-kira 1,500 responden di seluruh negeri dan kini dalam proses mengumpul data dengan menjalankan kajian menggunakan responden di semua daerah.

“Kita tidak mahu mengatakan kemiskinan haid negeri ini tinggi tanpa merujuk data yang betul. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga akan bantu berkongsi data kerana yang melalui proses ini pada peringkat awal adalah pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.