KUANTAN: Penduduk Kampung Sri Damai di sini tidak menjangkan hujan berterusan bermula malam semalam mengakibatkan berlakunya banjir di kampung berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Syaiful Hafizi Mohd. Ariffin, 41, berkata, selama lebih 30 tahun tinggal di kampung itu, biasanya banjir hanya berlaku selepas hujan berterusan selama dua hari.
Katanya, dia tidak menjangkakan hujan berterusan yang berlaku tidak sampai sehari itu menyebabkan penduduk di kampung berkenaan terpaksa berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Sri Damai di sini.
“Saya sedar air naik ketika saya bangun Subuh pagi tadi sekitar pukul 6 pagi. Saya lihat air sudah mula melimpah di kawasan belakang rumah. Selepas saya hantar anak ke sekolah pada pukul 7 pagi tadi, saya lihat air semakin laju naik dan mula memasuki kawasan dapur rumah.
“Saya segera bertindak memindahkan barang dalam rumah ke tempat tinggi. Anak-anak saya pula saya hantar mereka untuk tinggal sementara di rumah ibu saya yang terletak di Batu 8, kira-kira tiga kilometer dari rumah saya ini,” katanya di sini semalam.
Syaiful Hafizi berkata, setakat petang semalam,, air banjir sudah memasuki ke bahagian dapur rumahnya sehingga sekitar paras buku lali.
“Kebiasaannya kalau banjir air akan naik sehingga ke bahagian ruang tamu. Pagi tadi saya lihat air laju naik tapi sekarang air dilihat naik perlahan berbanding pagi tadi.
“Kedudukan rumah saya agak tinggi sedikit berbanding rumah penduduk yang lain. Saya dapat tahu ada antara penduduk yang rumahnya sudah mula dimasuki air dan sudah mula berpindah. Jiran sebelah rumah saya juga rumahnya sudah mula dimasuki air sehingga ke ruang tengah,” katanya.

Syaiful Hafizi berharap banjir yang melanda kampung berkenaan tidak seteruk awal tahun lalu.
“Boleh kata setiap tahun kampung ini dilanda banjir namun ini merupakan kejadian paling pantas setakat ini. Biasanya banjir ini akan surut dalam tempoh 12 jam selepas hujan berhenti.
“Saya sentiasa mendapatkan perkembangan berkaitan banjir di kawasan ini melalui Facebook dan berharap agar ia tidak seteruk banjir-banjir sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










