Penduduk harap baiki segera jalan mendap

Penduduk harap baiki segera jalan mendap

KEADAAN jalan yang mendap selepas kejadian banjir di Kampung Batu 9, Ibok, Kemaman, Terengganu. semalam. – MINGGUAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di sekitar Kampung Batu 9, Ibok di sini menggesa pihak berkuasa membaiki segera jalan di kampung tersebut yang mendap selepas kejadian banjir kira-kira sebulan lalu.

Tinjauan mendapati sebahagian jalan tersebut telah mendap sehingga terbentuk lubang besar di bahu jalan dan hanya satu laluan boleh dilalui.

Seorang penduduk, Mohd. Azlan Azri, 45, berkata, jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk kampung itu dan Kampung Payoh ke bandar Chukai dekat sini.

Menurutnya, keadaan jalan tersebut berbahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal memandangkan laluan berkenaan gelap pada waktu malam.

“Selain itu, kami juga perlu menunggu giliran untuk melalui jalan ini sebab hanya satu laluan yang dibuka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.

Seorang pengguna jalan raya, Wong Kim Siah, 60, berkata, jalan tersebut sering menjadi laluan kenderaan berat terutamanya lori yang mengangkut bijih besi menyebabkan penduduk bimbang sekiranya runtuhan tersebut semakin serius.

“Kita bimbang sebab hari-hari lori melalui jalan ini, takut berlaku runtuhan semakin besar dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Sebelum berlaku kejadian tidak diingini, kami harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera membaiki jalan yang rosak itu,” katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Abdul Rashid Jali, 48, pula berkata, kereta yang dipandunya hampir terjunam ke dalam lubang kesan tanah mendap di tepi jalan itu ketika mengelak sebuah motosikal yang tidak memasang lampu semasa melalui jalan tersebut pada waktu malam, baru-baru ini.

“Saya bimbang jalan tersebut akan terus mendap dan jika tidak dibaiki segera boleh mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya