Pemilihan UMNO: Jangan kempen fitnah, keji calon lain - Utusan Malaysia

Pemilihan UMNO: Jangan kempen fitnah, keji calon lain

MAHATHIR
SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO 2023 diingatkan untuk tidak memfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO sepanjang tempoh berkempen yang berakhir 19 Mac ini.

Menurut satu pekeliling tata etika berkempen yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, calon-calon dibenarkan berkempen menggunakan media elektronik, media sosial atau media massa hanya untuk menyokong dengan syarat tidak melanggar etika berkenaan.

Jelasnya, tata etika ahli UMNO terpakai kepada semua ahli sepanjang tempoh berkempen.

Justeru katanya, segala aduan dan salah laku sepanjang tempoh berkempen hendaklah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO dengan kadar segera.

“Sepanjang kempen pemilihan UMNO 2023, antara larangannya adalah Majlis Perasmian Berkelompok di semua peringkat adalah dilarang bermula 1 Februari hingga 26 Februari.

“Semua Ketua (empat peringkat) di peringkat Cawangan dan semua Ketua (empat peringkat) di Bahagian dilarang berucap sebelum proses pemilihan atau pengundian dijalankan,” menurut pekeliling yang dikeluarkan 1 Februari itu.

Dalam masa sama, Shahrir menambah, Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan Bahagian dibenarkan mengadakan sesi pengenalan calon.

Pendaftaran bagi proses pemilihan UMNO 2023 dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari ini di Menara Dato’ Onn di sini bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu, bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN