Pembubaran DARA, LKWJ ibarat ‘tragedi’

Pembubaran DARA, LKWJ ibarat ‘tragedi’

BANDAR Kota Perdana di Muadzam Shah, Rompin tidak seperti sebuah bandar ekoran terbantut kemajuannya dan ketinggalan dari segi pembangunan kesan pembubaran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Pembubaran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) di Pahang oleh Kerajaan Pusat pada 1997 diibarat ‘tragedi’ kepada lebih 700,000 penghuninya apabila kawasan-kawasan di bawah seliaan kedua-dua agensi itu mundur dan tidak membangun sebagai mana dirancang.

DARA dan LKWJ yang sebelum ini terletak di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) Pahang meliputi enam daerah iaitu Rompin, Pekan, Bera, Maran, Temerloh dan Jerantut.

Bagaimanapun, apabila kedua-dua agensi itu dibubarkan, LKW didakwa kehilangan berbilion dana pembangunan untuk terus membangunkan kawasan-kawasan berkenaan yang belum mencapai matlamat.

Kini selepas 25 tahun, rakyat di enam daerah tersebut terus terpinggir malah mereka berasa teraniaya apabila LKWJ dan DARA dibubarkan kononnya selepas mencapai matlamat penubuhannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia sumber berkata, semua kawasan yang kononnya sudah terbangun tidak ada apa-apa terutama membabitkan aspek pembangunan prasarana dan hartanah malah boleh dikatakan semakin hari semakin mundur.

Kata sumber, selepas DARA diswastakan kepada Teras Dara Konsortium (TDK) dan LKWJ kepada Warisan Jengka Hol­dings (M) Sdn. Bhd., kedua- kedua badan swasta itu dilihat tidak dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan.

“Selepas ketiadaan DARA dan LKWJ, enam daerah yang sebelum ini di bawah dua agensi itu agak jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi berbanding kawasan LKW yang lain malah mungkin wilayah ini akan terus ketinggalan dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” kata sumber itu.

Sumber memaklumkan, LKWJ dan DARA adalah agensi persekutuan yang bertanggungjawab membangun dan memajukan kawasan-kawasan dalam Wilayah Jengka dan Pahang Tenggara.

Sebelum dibubarkan kata­nya, kedua-dua agensi ini berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang turut bersama ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR) Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH) dan beberapa agensi lagi yang mewakili setiap negeri.

LKW yang nak ‘dimatikan’ beroperasi lebih maju

Yang lebih ironis, katanya, apabila mendapati LKW di beberapa negeri yang dikatakan akan turut ‘dimatikan’ seperti DARA dan LKWJ hingga sekarang masih lagi segar bugar meneruskan aspirasi pembangunan untuk penduduk setempat di negeri masing-masing.

“Dalam hal ini pihak berwajib perlu turun padang melihat apa sudah jadi dengan bandar-bandar dan pekan-pekan yang dirancang dalam kawasan DARA dan LKWJ.

“Amat menyedihkan melihat Bandar Muadzam Shah, Bandar Tun Razak Keratong, Kota Perdana, Perwira Jaya, Kota Bahagia, Kota Shahbandar, Cenderawasih, Melati, Perantau Damai, Pakoti Timur, Paloh Hinai, Bukit Ibam, Bandar Chini, Pekan Awah, Pekan Tajau, Ibol Tunggal dan beberapa lagi kawasan yang ketinggalan ‘keretapi’ pembangunan.

“Bagaimanapun Bandar Tun Abdul Razak Jengka lebih maju sejak lima tahun lepas berikutan gagasan bandar Melayu tidak lagi dipegang kukuh oleh pemimpin Melayu sendiri,” kata sumber itu di sini semalam.

BANDAR Bukit Ibam di Rompin, Pahang ibarat ‘pekan mati’ walaupun satu ketika dahulu menjadi pusat pentadbiran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA).

Sumber itu berkata, sebagai contoh lihat sahaja Pekan Awah dan Pekan Tajau di Maran yang tidak berkembang sedangkan kedudukannya begitu strategik.

“Lihat juga kawasan yang diperuntukkan untuk industri menarik pelabur, ada yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

“Walaupun sebelum pembubaran LKWJ dan DARA ada jaminan menteri bahawa peruntukan pembangunan akan di­salurkan melalui daerah Maran dan Rompin tetapi hakikatnya kedua-keduanya tidak mampu meneruskan fungsi dua agensi ini,” katanya.

Wujudkan agensi ganti DARA, LKWJ

Menurut sumber itu, keraja­an negeri dan beberapa pemimpin politik yang menyedari kesilapan pembubaran DARA dan LKWJ telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Persekutuan supaya diwujudkan agensi lain di Pahang Tenggara dan Wilayah Jengka.

“Malah dalam beberapa siri laporan media khususnya Utusan Malaysia mendapati dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang turut bergema dengan isu ini dan bersetuju mengemukakan permohonan rasmi supaya ada agensi baru menyelaras pembangunan di dua kawasan ini.

“Secara tuntasnya, tanpa prejudis sebenarnya negeri Pahang telah kehilangan dua agensi pusat yang memang banyak membantu kemajuan terutamanya dalam program pembangunan infrastruktur dan sosial masyarakat.

“Walaupun ada jaminan Kerajaan Pusat akan menyalurkan semula peruntukan tahunan dan penyelenggaraan pembangunan menerusi Majlis Daerah Maran dan juga Majlis Daerah Rompin, tetapi sebuah agensi mirip DARA dan LKWJ perlu juga diwujudkan.

“Kedua-kedua kawasan DARA dan LKWJ sangat luas dan masing-masing mempu­nyai fungsi dan tanggungjawab besar untuk membantu menyeimbangkan pembangunan di setiap daerah dan kampung di negeri ini,” katanya.

Menurut sumber, kewujudan semula LKWJ dan DARA atau agensi lain mirip dua LKW itu perlu disegerakan supaya perancangan murni menjadikan Bandar Jengka sebagai Bandar Bumiputera terulung berjaya.

“Pada masa sama Bandar Muadzam Shah, Rompin di laluan Kuantan-Segamat terus ber­kembang maju, tidak perlahan seperti sekarang.

“Tanggungjawab DARA dan LKWJ antara lain memajukan, menggalakkan, membantu dan mengusahakan ­pembangunan ekonomi dan sosial dalam kawasan berkenaan Pahang Tenggara. Di samping itu untuk memaju, menggalakkan, membantu dan mengusahakan pembangunan tempat tinggal, pertanian, perusahaan dan perdagangan dalam kawasan Pahang Tenggara dan Jengka.

“Fungsi kedua-dua agensi yang dibubarkan itu turut berperanan untuk mengawal dan menyelaraskan perlaksanaan kegiatan-kegiatan pembangu­nan pertumbuhan bandar-bandar baharu dalam kawasan Pahang Tenggara dan Wilayah Jengka,” katanya.

Sumber tersebut dalam pada itu berkata, DARA ditubuhkan sejak September 1971 untuk memajukan kawasan seluas satu juta hektar yang terletak di Tenggara Pahang.

“Allahyarham Tun Abdul Razak semasa menjelaskan kepada rakyat tentang kewujudan DARA menyatakan bahawa tujuan kerajaan membuka kawasan-kawasan di Pahang Tenggara ini dan mengadakan bandar-bandar baru ialah untuk memberi peluang kepada penduduk yang tidak ada peluang bekerja dapat mempunyai kerja yang sempurna, tempat kediaman yang sempurna dan mempunyai masa depan yang ter­jamin.

“Dengan tertubuhnya Lembaga Kerajaan Pahang Tenggara dan diperkuatkan lagi dengan Aktanya. Lembaga ini telah berjaya memajukan kawasan Pahang Tenggara yang dahulunya dipenuhi oleh hutan rimba.

“Beberapa bandar baru yang lengkap infrastrukturnya telah dibina dan membuka peluang-peluang pekerjaan kepada sebahagian besar penduduk di situ,” kata sumber itu.

Selain itu katanya, ia memberi peluang kepada penduduk-penduduk bumiputera yang tidak bertanah memilikinya dan mengusahakan tanah-tanah ter­sebut di samping menikmati hidup yang lebih teratur di kawasan-kawasan perbandaran dan perindustrian moden.

“Begitu juga dengan kewujudan Perbadanan Kemajuan Jengka (PKJ) dalam tahun 1970-an di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan dan kemudian diambil alih Kerajaan Pusat pada 1983 mempunyai misi dan visi yang merentasi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB),” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya