Pemandu lori maut dipukul dipercayai angkara dendam - Utusan Malaysia

Pemandu lori maut dipukul dipercayai angkara dendam

peniaga lemas

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut dipukul di sebuah apartment di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Isnin lalu dipercayai angkara dendam dan cemburu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa dikatakan didatangi sekumpulan individu di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati, teman wanita kepada lelaki berkenaan menghubungi adik mangsa memaklumkan dia dipukul.

Kata beliau, selepas kejadian itu, rakan kepada mangsa turut dihubungi seorang individu dipercayai suspek memaklumkan lelaki berkenaan berada di Unit Kecemasan Hospital Cyberjaya, kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Adik mangsa kemudian bergegas ke Hospital Cyberjaya sebelum dimaklumkan bahawa abangnya berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa mendapati kedua belah mata bengkak dan lebam, luka pada hidung serta pendarahan di kedua-dua belah telinga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Anbalagan, siasatan awal mendapati motif pembunuhan berpunca perasaan dendam dan cemburu terhadap mangsa.

Menurutnya, polis mengenal pasti lima individu dipercayai terlibat dalam kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan kesemua suspek terlibat sedang dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN