Pemandu cuba rempuh penguat kuasa JPJ ditahan - Utusan Malaysia

Pemandu cuba rempuh penguat kuasa JPJ ditahan

ADENAN Md. Isa ketika mengetuai Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di Jalan Perusahaan Perai, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pemandu van ditahan selepas cuba merempuh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di Jalan Perusahaan Perai, di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, lelaki tempatan berusia 40-an itu bagaimanapun berjaya ditahan menerusi Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

“Pemandu itu memberi alasan mahu ke tandas sedangkan hasil pemeriksaan mendapati dia dalam perjalanan menghantar lapan tukang cuci pulang menggunakan van persendirian.

“Kita dapati dia juga tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan memandu kenderaan persendirian yang didaftarkan atas nama individu lain.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 132 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa manakala 110 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, sebanyak 17 bas kilang turut disita meliputi pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen PSV, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans kenderaan motor.

“Lebih membimbangkan, kita dapati kebanyakan pemandu dikesan melakukan kesalahan berulang, namun majikan seolah-olah tidak ambil endah dan berterusan menggajikan pekerja yang sama.

“Kita akan kenakan tindakan lebih keras terhadap pemilik dan pengendali kenderaan bagi memberi pengajaran kepada syarikat lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya