Pelajar di Turkiye kutip RM10,291 untuk mangsa gempa bumi

Pelajar di Turkiye kutip RM10,291 untuk mangsa gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (Masat) berjaya mengumpul dana sebanyak RM10,291 bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan tragedi gempa bumi di negara itu, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Bahagi­an Kebajikan Masat, Nur Dini Mohd. Rodzi berkata, jumlah tersebut adalah setakat 2.20 petang 10 Februari iaitu kali terakhir mereka mengemaskini dana itu.

Katanya, kutipan itu akan diagih terlebih dahulu kepada para pelajar Malaysia di Turkiye yang terkesan dengan gempa bumi sebelum diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk disalurkan kepada mangsa lain.

“Daripada jumlah kutipan tersebut, Masat bercadang untuk serahkan separuh kepada pelajar Malaysia yang terkesan.

“Selebihnya kami akan se­rahkan kepada Persekutuan Per­satuan Pelajar Antarabangsa (UDEF) kerana Masat bekerjasama dengan mereka bagi menjayakan misi ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, media melaporkan, puluhan ribu penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye pada pukul 4.17 pagi 6 Februari lalu.

Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu dikatakan meranapkan ribuan bangunan di beberapa bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.

Ditanya mengenai penyertaan pelajar Malaysia di sana dalam pasukan sukarelawan, Nur Dini mengesahkan tiada antara mereka menyertai misi tersebut di bawah Masat, sebaliknya fokus kepada pengumpul­an dana sahaja.

NUR DINI MOHD. RODZI

Jelasnya, pelajar Malaysia tidak dilarang menyertai pasukan sukarelawan tetapi tidak digalakkan atas sebab-sebab keselamatan pelajar sekiranya menyertai misi menyelamat berkenaan.

“Hal ini kerana ia terkait rapat dengan hubungan keselamatan pelajar sendiri. Sekiranya ada pelajar yang pergi ke sana sebagai sukarelawan, mereka perlu maklumkan kepada pihak Masat untuk direkodkan penyertaan mereka.

“Ini bagi memastikan pelajar yang sertai misi tersebut pergi dan sampai dengan selamat. Masat akan mengikuti perkemba­ngan mereka melalui media sosial dari masa ke semasa,” katanya.

Nur Dini memberitahu, para pelajar Malaysia ketika ini juga berada dalam keadaan selamat selepas dipindahkan ke negeri lain.

“Kebanyakan mereka duduk di asrama di mana setiap barang keperluan seperti makanan dan sebagainya dijaga dengan baik oleh pihak pengurusan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN