PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mahu mengekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimiliki ketika parti itu berhasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berharap, PH memberi ruang bertanding di DUN Lembah Jaya dan Sementa bagi mengelakkan calon-calon pilihan raya bertembung sekaligus merugikan kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Julau itu berkata, bertanding dua kerusi berkenaan hanya cadangan awal dan belum ada perbincangan rasmi dengan pimpinan tertinggi PH.
“Saya baru pulang dari luar negara dan akan berbincang dengan PH dalam masa terdekat. Kalau ada cara bergabung atau bekerjasama dalam pilihan raya, ini menjadi harapan saya.
“Sekarang PBM ada kerusi DUN, tetapi kalau mahu bertanding, mungkin akan kekalkan kerusi yang ada. Saya harap ada jalan penyelesaian untuk hal ini kerana kami semua bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing dan tempoh penggalnya dijangka tamat tahun ini, membuka jalan kepada pilihan raya negeri.
PBM mempunyai dua kerusi DUN di Selangor iaitu Lembah Jaya (Haniza Mohamed Talha) dan Sementa (Dr. Daroyah Alwi). Wei Shien tidak menjelaskan jika berniat bertanding di negeri-negeri lain.
Mengulas lanjut, beliau menafikan dakwaan yang partinya terpaksa bergantung kekuatan dengan PH setelah tidak diterima masuk sebagai parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Bukan, memang sebelum ini rancangan masuk bersama BN, setakat ini kita pun masih ada surat memohon menyertai BN tetapi masih belum ada keputusan. Rancangan sekarang hanyalah bekerjasama dengan PH untuk pilihan raya negeri supaya masing-masing menang,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau yakin PBM akan terus stabil dan kukuh untuk jangka masa panjang dalam arena politik negara meskipun keadaan menyaksikan ramai penyokong terutama daripada Semenanjung keluar parti sehingga ada yang membubarkan bahagiannya.
Beliau menganggapnya sebagai kebiasaan jika ada pemimpin parti dipecat sehingga mempengaruhi tindakan penyokongnya untuk melakukan perkara sama dengan keluar parti.
Bagaimanapun, Wei Shien optimis dan akan mencari kepemimpinan serta keahlian baharu untuk bersama membina parti supaya diterima di seluruh negara.
“Walaupun bekas pemimpin PBM sebelum ini adalah menteri, ahli parlimen tetapi apabila pilihan raya pun kalah dan hilang deposit. Bila ada orang keluar parti, memang akan bawa ‘budak-budak’ mereka sekali, ini adalah perkara biasa dalam mana-mana politik pun.
“PBM juga masih baharu, sebab itu akan mengambil masa membina parti ini dan membuat naratif yang boleh diterima oleh orang dari Semenanjung malah prosesnya mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, PBM di peringkat negeri-negeri kini dalam proses penstrukturan semula, tidak lama selepas dua bahagiannya di Semenanjung mengumumkan pembubaran jawatankuasa. – UTUSAN










