Pasukan Malaysia diberi taklimat PBSM Syria isu gempa

Pasukan Malaysia diberi taklimat PBSM Syria isu gempa

PASUKAN Peninjau Khas Malaysia mendengar taklimat isu pasca gempa di ibu pejabat PBSM Syria di Damsyik. IHSAN KEDUTAAN BESAR MALAYSIA LUBNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menjelang ketibaan misi bantuan kemanusiaan Malaysia yang pertama di Syria pada Ahad ini, Pasukan Peninjau Khas Malaysia mengikuti taklimat senario pasca gempa daripada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Syria.

Menurut hantaran Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan, sesi khas berkenaan disampaikan Pengerusinya, Khaled Hboubati di ibu pejabat badan sukarela itu kepada kumpulan yang dianggotai 20 petugas dan turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob dan Konsul Kehormat Malaysia ke Syria, Sameer Al-Koor serta wakil PBSM Malaysia.

Pada taklimat tersebut, beliau menjelaskan situasi bencana itu akibat tempias gempa dari selatan Turkiye minggu lalu memburukkan krisis kemanusiaan di Syria lebih sedekad yang bergelut isu perang saudara sejak 12 tahun lepas turut berdepan sekatan antarabangsa yang menjejaskan fasiliti kesihatan awamnya.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana insiden gempa dahsyat itu memberikan pula hikmah tersirat apabila halangan tersebut ditarik balik dunia pada akhir minggu lalu sekali gus membolehkan puluhan pesawat dari pelbagai negara mula memasuki Syria buat julung kali untuk misi penghantaran bantuan kemanusiaan.

Pasukan Malaysia yang diketuai sendiri Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad berjaya memasuki Damsyik pada Rabu lepas bagi mencari gambaran sebenar di lapangan mengenai apa bantuan diperlukan mangsa selain membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa Syria serta mengenal pasti laluan selamat bagi logistik penghantaran kemanusiaan.

Tugasan pasukan itu disebabkan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup sementara ekoran konflik pada 2012 lalu dan menyukarkan usaha awal bantuan Malaysia kepada Syria selain mengakibatkan kebajikan hampir 100 warga Malaysia, sebahagian besarnya pelajar universiti, dipantau pihak Konsul Kehormat di Damsyik dilantik Wisma Putra.

Esok, bantuan negara ini akan diterbangkan dengan dua buah pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia dari No.8 Skuadron yang berpusat di Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Pada ketika ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik amat sibuk apabila menjadi tumpuan banyak pesawat kargo dari seluruh dunia untuk penghantaran misi kemanusiaan asing.

Hubungan diplomatik Malaysia-Syria terjalin sejak 1958 namun negara itu membuka kedutaan di Kuala Lumpur pada 2001 lalu manakala canseri Malaysia di Damsyik dibuka pada 2002.

Presiden Syria, Bashar al-Assad malah pernah melawat Malaysia pada 2003 diikuti kunjungan rasmi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke sana pula pada 2007. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya