Pas Kedah lancar Tabung bantu mangsa gempa

Pas Kedah lancar Tabung bantu mangsa gempa

AHMAD Yahaya (kanan) menyerahkan sumbangan bantuan kepada PASRelief dalam satu majlis semalam.

PETALING JAYA: Pas Negeri Kedah telah melancarkan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria peringkat negeri semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dengan menyerahkan sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada PASRelief.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah PASRelief, Mohd. Yusni Mat Piah dengan turut dihadiri Setiausaha PASRelief, Norhafizah Fadzil dan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah Musoddak Ahmad. 

Dalam pada itu Ahmad Yahaya berkata, semua rakyat di negara ini tanpa mengira lapisan masyarakat membantu dalam segala aspek bagi meringankan bebanan mangsa yang terlibat.

“Janganlah kita mendiamkan diri pada saat saudara seakidah kita ditimpa bencana gempa yang sangat kuat.

“Ada sesuatu yang perlu kita lakukan apabila melihat ujian musibah yang begitu besar menimpa mereka. Maka tunjukkanlah kebersamaan kita bersama rakyat Turkiye dan Syria dengan menyumbang semampu kita. Semoga dengan sumbangan ini, kita dapat meringankan beban yang menimpa mereka di sana,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu juga berkata, bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan dibuat menerusi Maybank Islamic: PAS RELIEF 5640-7061-2333 atau melalui: https://infaqpay.my/plus/gempa-bumi-turkiye-pasreliefUTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN