Pandora Papers; CAP ulangi gesaan tubuh RCI - Utusan Malaysia

Pandora Papers; CAP ulangi gesaan tubuh RCI

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun rahsia di tempat perlindungan cukai (tax haven) yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, siasatan itu bagaimanapun perlu merangkumi nama individu serta syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Panama Papers 2015 dan Paradise Papers 2016 seperti yang didedahkan sebelum ini.

Jelas beliau, lebih setahun lalu, CAP pernah menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat aliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai itu yang memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara.

“Kini, kami mengulangi gesaan tersebut iaitu untuk menubuhkan RCI kerana siasatan oleh agensi tidak mencukupi untuk menangani isu ini.

“Dalam hal ini, RCI mesti mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang dan institusi kita yang membolehkan aliran keluar wang haram dan membuat cadangan untuk mengukuhkan rangka kerja institusi perundangan untuk menangani masalah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 2015, Panama Papers mendedahkan terdapat 2,300 individu dan entiti Malaysia menyembunyikan wang di tempat perlindungan cukai luar pesisir atau ‘offshore’.

Setahun kemudian pula, Paradise Papers turut mendedahkan mengenai cara syarikat multinasional dan individu kaya-raya memindahkan wang dari dan ke 19 tempat perlindungan cukai untuk mengelak atau menghindari cukai.

Dalam pada itu, Mohideen turut mempersoalkan kewajaran mereka menyembunyikan wang tersebut dan sumber kewangan yang diperoleh.

Ini kerana katanya, laporan dalam kedua-dua ‘Papers’ itu mendedahkan terdapat banyak syarikat luar pesisir dengan entiti ‘palsu’ terlibat dalam pengelakan dan penghindaran cukai, manipulasi pasaran, pengubahan wang haram, rasuah dan sebagainya.

“Dana haram ini datang daripada jenayah transnasional, rasuah serta pengelakan cukai selain berbilion ringgit daripada kegiatan haram termasuk industri pelacuran yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia yang dianggarkan bernilai AS$963.8 juta atau RM3.68 bilion.

“Pegawai sekuriti pula menganggarkan sindiket perjudian dalam talian haram memperoleh sehingga AS$2.4 bilion (RM7.9 bilion) setahun daripada aktiviti perjudian haram di Malaysia dan kebanyakan keuntungan yang diperoleh secara haram ini berkemungkinan akan berakhir di akaun luar pesisir contohnya di Singapura,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Mohideen, selain penubuhan RCI, CAP turut berharap Malaysia menjalin kerjasama dengan negara lain bagi menangani masalah terbabit.

Katanya, antara kerjasama itu termasuk perkongsian automatik maklumat kewangan rentas sempadan, mendedahkan kepada awam tentang penerima manfaat individu utama sesuatu syarikat, amanah dan yayasan.

Menurut beliau, kerjasama lain termasuk pelaporan negara demi negara untuk syarikat multinasional serta cukai unitari dengan pembahagian formula untuk menghindari pengelakan cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.