CAMERON HIGHLANDS: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) meminta kerajaan mengkaji semula pembinaan projek perumahan Prima di Jalan Habu ke Ringlet di sini yang didakwa menjadi punca jalan utama di situ dilanda banjir lumpur petang kelmarin.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, banjir lumpur yang berlaku petang semalam berpunca dari hujan lebat, menyebabkan aliran air dari kawasan atas bukit iaitu di lokasi pembinaan rumah Prima yang sedang dijalankan, dibawa turun sehingga ke jalan utama.
Menurutnya, lokasi pembinaan rumah Prima itu juga tidak sesuai kerana terlalu dekat dengan Empangan Sultan Abu Bakar Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.
“Banjir lumpur yang berlaku di Jalan Habu ke Ringlet petang semalam berikutan hujan lebat berpunca daripada projek perumahan Prima di sini yang kini berada pada fasa kerja-kerja menolak tanah.
“Jalan ini di kawasan ini tidak pernah mengalami banjir sehinggalah projek ini dimulakan, banjir lumpur semalam memang berpunca daripada projek Prima. Ini apabila air dari kawasan bukit membawa bersama lumpur tanah dan masuk ke Sungai Bertam, mengakibatkan air sungai melimpah hingga ke jalan raya bersama lumpur.
“Reach memohon kepada pihak yang berkenaan melihat semula projek ini kerana lokasinya tidak sesuai dibangunkan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, selain itu, tapak pembinaan projek itu tidak sesuai kerana aliran air hujan dari projek tersebut terutama hakisan tanah mengalir masuk ke dalam Empangan Sultan Abu Bakar.
Katanya, Reach meminta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan lain-lain pihak supaya kaji semula projek perumahan ini kerana ia menjadi punca banjir dan lokasinya terlalu dengan dengan Empangan Sultan Abu Bakar, kira-kira 100 meter sahaja.
“Setiap kali banjir, hakisan tanah akan masuk ke dalam empangan ini dan TNB terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyelesaikan masalah bahan buangan di empangan itu seperti mengorek pasir dalam empangan.
“Masalah ini sudah banyak kali kami suarakan kepada pihak yang berkenaan, mengapa tiada tindakan?. Mengapa projek perumahan ini diluluskan sedangkan ia terletak bersebelahan dengan empangan, tak sampai 100 meter.
“Saya harap menteri yang berkenaan memandang serius perkara ini,” katanya.
Kelmarin, tular dalam media sosial terutama di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman video kejadian banjir lumpur yang dikatakan berlaku di Jalan Habu ke Ringlet di sini. – UTUSAN










