Mohamad Sabu terima gelaran Datuk Seri

Mohamad Sabu terima gelaran Datuk Seri

MOHAMAD Sabu menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang di-Pertuan Agong bersama enam lagi penerima sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hari ini menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menerima gelaran tersebut daripada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama enam lagi penerima sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, mahu kerajaan melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul serta mampan.

Malah, Seri Paduka menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang mana ia harus ditangani segera.

Ini kerana menurut titah Seri Paduka, kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah Seri Paduka yang disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Seri Paduka berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan.

Ia termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah baginda.

Seri Paduka turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentukan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.