PETALING JAYA: Menu Rahmah yang diperkenalkan pada kadar RM5 tidak mampu bertahan sekiranya harga bahan mentah terus meningkat.
Ini disebabkan kos tinggi yang ditanggung peniaga terutamanya peniaga kecil boleh memberi risiko kerugian.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bagaimanapun memberi jaminan harga Menu Rahmah di pasar raya itu akan terus kekal untuk tiga bulan pertama diperkenalkan.
“Apabila dilancarkan sahaja menu ini, ada cakap ini semua hanya hangat-hangat tahi ayam. Tapi saya jamin untuk tiga bulan pertama, stabil.
“Selepas itu bergantung kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kalau tiada kenaikan harga barang kita boleh kekalkan Menu Rahmah ini selama-lamanya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Inisiatif Menu Rahmah diperkenal kerajaan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Dilaporkan setakat ini lebih 15,000 restoran menawarkan menu ini bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan tersebut.
Bagaimanapun, pengenalan menu ini mencetuskan polemik terutama dalam kalangan peniaga kecil yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kenaikan harga barang mentah terlebih dahulu.
Menurut Ameer Ali, beliau dalam masa sama tidak menolak kemungkinan harga Menu Rahmah boleh diturunkan berdasarkan situasi semasa.
“Seandainya harga barang turun, kita pun mungkin boleh turunkan harga Menu Rahmah,” terangnya.
Mengulas tentang stok barangan mentah musim perayaan, Ali Ameer berkata, kerajaan perlu bertindak tegas dan tidak berlembut lagi pada masa kini bagi mengelakkan pembekal bermaharajalela.
“Masalah bekalan terutama ayam memang selalu berlaku. Apa yang saya boleh syorkan kepada kerajaan, kalau ada pembekal besar yang berniat tidak baik, adalah wajar ‘pegang’ mereka. Dalam erti kata lain sekat permit eksport mereka kalau bekalan tidak cukup. Sebab apa? Kita sudah tahu core structure (struktur teras).
“Sebulan mereka mesti boleh bekal satu juta ayam sebagai contoh. Kalau mereka ada lebih baru boleh eksport ke negara luar. Itu baru betul. Ini tidak. Mereka eksport tapi bekalan di sini tidak cukup,” jelasnya. – UTUSAN










