Menu Rahmah: KPDN tidak terima aduan pihak ambil kesempatan 

Menu Rahmah: KPDN tidak terima aduan pihak ambil kesempatan 

ROZIAH Abudin (kiri) ketika Majlis Pelancaran Menu Rahmah Kasih Sayang Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai pihak-pihak yang dikatakan cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan Menu Rahmah berbeza daripada syor yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin berkata, setakat ini, semua menu yang ditawarkan di bawah program itu kualitinya adalah sama dan makanannya juga sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Pada masa sama katanya, tiada diskriminasi terhadap mana-mana pihak sama ada mereka yang berpendapatan rendah iaitu B40 atau mereka yang berpendapatan tinggi (T20) untuk menikmati hidangan tersebut.

“Menu Rahmah ini bukan bertujuan menyediakan menu lain yang tidak ada standard (piawaian). Sebaliknya, ia adalah menu yang sama (seperti terdapat di kedai), bezanya, ia dijual pada harga RM5.

“Dalam hal ini, pengusaha-pengusaha makanan yang menawarkan menu ini tidak langsung meminta sebarang pengenalan diri (kad pengenalan) atau apa-apa dokumen bagi membuktikan pendapatan seseorang itu untuk menikmati menu ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah Kasih Sayang Peringkat Negeri Pulau Pinang di sebuah restoran di Bertam Perdana yang turut dihadiri Pengarah KPDN negeri, S. Jegan di sini, hari ini.

Berdasarkan pangkalan data terkini oleh KPDN, hampir 600 pengusaha makanan berdaftar telah melaksanakan Menu Rahmah di premis-premis mereka di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Roziah memberitahu, ketika ini masih ada dalam kalangan pengusaha makanan yang turut menawarkan Menu Rahmah, namun tidak mendaftarkan diri ke dalam pangkalan data yang disediakan.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu adalah secara sukarela dan bergantung kepada keupayaan peniaga, justeru pihaknya berharap ramai pengusaha mendaftar kerana bukan sahaja dapat membantu orang ramai mengetahui lokasi menu tersebut, malah turut membantu peniaga dalam membuat hebahan.

“Saya akui, ketika program ini dilaksanakan pada peringkat awal, memang terdapat kekhuatiran dalam kalangan peniaga yang mana program berkenaan mungkin akan menyebabkan kerugian.

“Namun, saya bersyukur kerana maklum balas yang diterima selepas menu ini dilaksanakan menyebabkan premis mereka sentiasa dikunjungi orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya