Md. Ratul akhirnya balik semula ke Bangladesh

Md. Ratul akhirnya balik semula ke Bangladesh

KANAK-KANAK lelaki warga Bangladesh yang ditemui dalam kontena dihantar pulang di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selepas lebih sebulan masuk negara ini secara tidak sengaja dengan kapal, seorang remaja Bangladesh, Md. Ratul Islam Fahim akhirnya dapat pulang ke negara asal.

Kisah dirinya yang terperangkap dalam sebuah kontena selama enam hari sebelum tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 17 Januari lalu malah pernah tular melalui media sosial.

Dia yang ditemui ketika itu berkeadaan lemah dan demam dengan baju lusuh mendakwa tertidur semasa berehat dalam kontena kosong itu di Pelabuhan Chittagong, Bangladesh.

Sepanjang terperangkap bersendirian, dia tidak sedar bahawa kapal MV Integra itu mula belayar pada 13 Januari lalu sebelum tiba di pelabuhan negara ini empat hari kemudiannya.

Namun dia berjaya diselamatkan selepas seorang pekerja dermaga terdengar bunyi suara ketukan kuatnya daripada kontena itu ketika kapal tersebut berlabuh pada pukul 8 malam.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir menyantuni Md. Ratul sendiri di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Dia yang kelihatan sihat turut ditemani pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainuddin untuk pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH 196.

Organisasi bukan kerajaan itu yang ditubuhkan sejak 2010 lalu di bawah program khas bagi kanak-kanak kurang bernasib baik dikendalikan oleh pihak Yayasan Salam Malaysia.

Bercakap kepada pemberita, Saifuddin berkata, kes remaja berusia 16 tahun itu disahkan sebagai insiden penumpang ‘gelap’ dan tiada kaitan jenayah pemerdagangan manusia.

“Kita bersyukur satu keajaiban dia masih hidup waima terkurung beberapa hari dalam situ dan kapten kapal mengesahkan sebagai kes stowaway atau penumpang gelap,” katanya.

Justeru, beliau menggunakan peruntukan Seksyen 55 Akta Imigresen 1959 dengan diberi pengecualian mangsa dibawa ke depoh tahanan meskipun tiada dokumen perjalanan sah.

Sebaliknya beliau menyatakan bahawa Md. Ratul dilayan atas dasar kemanusiaan selaras Malaysia meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu 1989.

Ini termasuk memberi keutamaan kepada mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan sebelum diletakkan di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

Dia dipantau sejak 26 Januari lalu dan Pejabat Menteri Dalam Negeri turut menguruskan dokumen perjalanan remaja itu dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Penerbangannya turut ditanggung pejabat beliau dan Md. Ratul berlepas ke Dhaka pukul 7.45 malam tadi dengan diiringi pegawai kedutaan bagi bertemu keluarganya di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya