KUALA LUMPUR : Majlis Penghantaran Tim Op Starlight (Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Turkiye) telah disempurnakan awal pagi tadi dengan melibatkan 36 pegawai dan anggota beserta dengan peralatan Hospital Medan seberat 44 Tan.
Ia disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Pangkalan Udara Subang dengan menghantar petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga milik ATM ke Turkiye bagi tempoh pengoperasian enam minggu.
Perkara itu selaras dengan perkara yang dijelaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bagi tujuan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam yang melanda Turkiye dan Syria.
“Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut yang berada dalam kesukaran ketika ini.
“Keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brigedier Jeneral Datuk (Dr) Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye dengan tiga fasa penghantaran bermula 10 Februari menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambahnya, hospital Medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Hospital Medan Tahap tiga ini juga berkapasiti 60 buah katil yang turut dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit Room), Radiologi dan makmal.
“Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu perubatan primer, ortopedik, pembedahan, anestesia, maxilo-facial,

Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Optalmologi dan perubatan kecemasan. Melalui kemudahan yang disediakan akan membolehkan Hospital Medan ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa yang terlibat di samping mempunyai kapasiti katil untuk mangsa yang memerlukan rawatan lanjut,” ujarnya.
Keseluruhan pengoperasian Op Starlight ini juga diletakkan di bawah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM sebagai peneraju operasi dan akan berhubung rapat dengan perkhidmatan lain, agensi dalam dan luar negara dalam melaksanakan misi sejajar dengan peranan serta tanggungjawab yang di amanahkan.
Turut hadir di Majlis Penghantaran Tim Op Starlight ialah Duta Besar Turki di Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim YÜKSEL, Duta Besar Turki di Malaysia; Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
Selain itu, Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat; Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Timbalan Panglima Tentera Laut, mewakili Panglima Tentera Laut; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM dan para Pegawai Kanan ATM turut hadir dalam program berkenaan.-UTUSAN










