MAIPs peruntuk RM7 juta bantuan persekolahan, beri manfaat lebih 10,000 pelajar - Utusan Malaysia

MAIPs peruntuk RM7 juta bantuan persekolahan, beri manfaat lebih 10,000 pelajar

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan berangkat merasmikan majlis penyampaian bantuan persekolahan MAIPs 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan zakat bantuan persekolahan sebanyak RM7,219,800 tahun ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada 10,314 pelajar di negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penerima tersebut terdiri daripada 6,252 murid sekolah rendah dan 4,062 pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis.

Titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs, setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan RM700 yang disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di 103 buah sekolah seluruh negeri ini.

“Ia merangkumi bantuan-bantuan seperti RM300 untuk pembelian pakaian sekolah dan alat tulis yang akan diuruskan oleh pihak sekolah iaitu Muraqib Amil; RM100 untuk sumbangan tunai; dan RM300 lagi untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh pihak pengurusan sekolah melalui kerjasama PIBG dengan saranan pihak Jabatan Pendidikan negeri.

“Program berkenaan juga perlulah semata-mata untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis penyampaian bantuan persekolahan MAIPs 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Naharudeen Othman; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan sama, baginda turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pengurusan sekolah-sekolah terutamanya pengetua, guru besar, barisan guru dan PIBG seluruh negeri ini yang turut sama menjayakan proses mengenalpasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.