MAIPs majlis agama Islam pertama terima Anugerah Presiden MIP - Utusan Malaysia

MAIPs majlis agama Islam pertama terima Anugerah Presiden MIP

MOHD Nazim Mohd Noor (kanan) mempersembahkan sijil dan trofi Anugerah Presiden bersempena Majlis Anugerah Perancangan Cemerlang Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP) kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) di Kompleks Islam Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi majlis agama Islam pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden bersempena Majlis Anugerah Perancangan Cemerlang Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP), baru-baru ini.

Penganugerahan itu diberikan menerusi inisiatif Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diiktiraf sebagai Projek Transformasi Berimpak Tinggi Dan Pemerdayaan Komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan amat bermakna atas inisiatif dan teraju Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama puteri sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang sentiasa komited dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek itu.

“Pelaksanaan projek ini sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

“Usaha murni bagi pelaksanaan projek ini turut dijayakan oleh MAIPs bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), agensi negeri dan Persekutuan, pihak swasta serta individu perseorangan termasuklah anggota masyarakat setempat,” katanya.

Mohd Nazim baru-baru ini berkesempatan mewakili MAIPs bagi menerima pengiktirafan itu dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Simbolik penyerahan trofi dan sijil anugerah itu turut dipersembahkan kepada Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs merangkap Pengerusi YTSP Perlis sebelum Persidangan MAIPs Bilangan Pertama Tahun 2023 di Kompleks Islam Perlis, di sini, semalam.

Kampung Seberang Ramai sebelum ini telah melalui transformasi di mana daripada sebuah perkampung nelayan kini ia telah bertukar menjadi antara salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri Perlis.

Dalam masa sama, pelaksanaan projek ini juga sekali gus membantu dalam membangunkan ekonomi penduduk setempat menerusi penghasilan produk-produk tempatan yang dapat dipasarkan buat pelancong luar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya