KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang sebelum ini menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Seri Hajiji Noor akan dipanggil Lembaga Disiplin pada Jumaat ini.
Lima ADUN itu ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Yusof Yacob (Sindumin).
Jasnih berkata, kelima-lima mereka menerima surat daripada Lembaga Disiplin pada Jumaat lalu.
“Kami menerima surat jemputan hadiri tatatertib pada Jumaat ini namun, acara pada hari ini telah dirancang lebih awal.
“Namun, saya masih akan menghadiri perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada Jumaat ini bagi menjelaskan keadaan yang berlaku sebelum ini,” katanya selepas pengumuman menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini.
Kelima-lima mereka sebelum ini tidak menyokong keputusan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertindak menarik sokongan daripada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah pada 6 Januari lalu.
Justeru, kesemua mereka akan menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Disiplin pada Jumaat ini bagi menjelaskan tindakan yang diambil semasa berlaku krisis politik pada bulan lalu.
Menurut beliau, tidak dapat dipastikan apa tindakan disiplin akan diambil namun dalam surat itu hanya meminta mereka berlima hadir untuk temu duga tatatertib.
Mengenai keputusan keluar UMNO hari ini, Jasnih berkata, mereka tidak menghantar surat peletakan jawatan kepada pimpinan UMNO kerana berdasarkan syarat dalam UMNO, apabila wakil rakyat menyertai parti lain maka, secara automatik akan keluar dari parti. – UTUSAN










