PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand selama dua hari bermula esok bakal membuka peluang dalam pelbagai bidang.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kunjungan pertama beliau itu ke negara jiran tersebut juga atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha sendiri.
“Beliau akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta pegawai kanan kerajaan. Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad.
“Pertemuan Perdana Menteri dengan Prayut dijangka memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama dalam pelbagai isu. Antara bidang utama itu meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan serta projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat kedua-dua negara jiran ini.
“Mereka berdua akan hadir menyaksikan pertukaran empat dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital dua negara. Kedua-dua pemimpin tersebut juga dijangka bertukar-tukar pandangan masing-masing mengenai isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama,” kata Wisma Putra.
Selain itu, Anwar akan mengadakan satu sesi libat urus dengan rakyat negara ini yang telah lama berada di Thailand dan membentuk kelompok diaspora Malaysia di Bangkok.
Lawatan tersebut turut mencerminkan jaringan dua hala erat antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama, dan ia telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilakukan dalam pelbagai sektor, terutama rentas sempadan.
Keadaan itu terbukti apabila sepanjang tahun lalu, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga paling besar dalam ASEAN. Jumlah dagangan yang direkodkan tahun lalu bernilai RM122 bilion iaitu peningkatan sebanyak hampir 18 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. – UTUSAN