Larang lato-lato di sekolah

Larang lato-lato di sekolah, boleh datangkan kecederaan

PERMAINAN lato-lato yang semakin popular dalam kalangan pelajar perlu dikawal kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pihak sekolah dan ibu bapa perlu memantau permainan lato-lato yang semakin popular dalam kalangan pelajar kerana dikhuatiri memudaratkan termasuk boleh mendatangkan kecederaan.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, selain itu permainan yang mengeluarkan bunyi bising dan bingit itu juga wajar dilarang di sekolah.

“Lato-lato ini baru nak mula di negara ini namun, kita percaya ia sudah menular ke semua sekolah dan kita sangat berha­rap ia terkawal.

“Ada lato-lato yang mempunyai ladong sangat berat dan jika terkena muka bahaya. Kita minta ibu bapa serta pihak sekolah pantau perkara ini,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Zainol yang juga Focal Person Kebangsaan KPM Kedah ber­kata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk fokus kepada kecemerlangan akademik pelajar setelah penularan Covid-19 dilihat menjejaskan pres­tasi mereka.

“Banyak isu sekarang, ada pelajar yang tak boleh baca lagi di sekolah dan dengan ketiadaan peperiksaan awam se­perti UPSR dan PT3, pelajar semakin lalai dan tidak mahu belajar lagi. Jadi kita tak mahu ada gangguan perkara lain pula,” katanya.

Lato-lato popular pa­da 60-an dan 70-an di Amerika Syarikat yang kini kembali menjadi kegemaran penduduk Indonesia sebelum tular ke negara ini.

Tinjauan di sekitar bandar ini mendapati permainan yang diharamkan di Amerika Syarikat, Mesir dan Britain itu semakin meluas dijual di pasar malam dan uptown dipercayai diimport dari negara jiran.

Difahamkan, terdapat bebe­rapa sekolah di negeri ini sudah mengambil tindakan melarang pelajar membawanya ke seko­lah.

Dalam pada itu, menurut Pe­ngerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, pihaknya akan berbincang de­ngan Jabatan Pendidikan negeri untuk mengenal pasti langkah terbaik mengendali isu berke­naan.

“Setakat ini tiada larangan di sekolah tetapi saya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan kelak. Sementara itu kita minta ibu bapa pantau anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN