Laporan Audit: Undang-undang sudah ada, hanya tidak dilaksana

Laporan Audit: Undang-undang sudah ada, hanya tidak dilaksana

NIK Azman Nik Abdul Majid menunjukkan LKAN Tahun 2021 Siri 2 di Putrajaya, kelmarin. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segala pendedahan dan teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan menjadi sia-sia sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan termasuk membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Undang-Undang, Tan Sri Syed Hamid Albar Syed Jaafar Albar menegaskan, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan masyarakat melihat syor yang dikemukakan Ketua Audit Negara sebagai benda remeh.

Lebih teruk katanya, ia boleh menghakis keyakinan para pelabur yang melihat seolah-olah amalan kebocoran dana awam sudah menjadi lumrah rakyat Malaysia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh lagi melihat ketirisan dengan sebelah mata kerana kelemahan itu akan menjadi aspek utama keterlanjuran sama berulang setiap tahun.

“Masalah di negara ini sekarang bukan tiada undang-undang, tetapi tiada tindakan. Buatlah undang-undang sehebat mana, tetapi akhirnya tiada pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, jika ada tindakan diambil, mereka yang terlibat akan takut untuk mengulangi kesilapan kerana bimbang disiasat, direman atau dipenjara.

Kelmarin, LKAN mendedahkan Malaysia masih berdepan dengan ketirisan membabitkan ratusan juta ringgit dalam beberapa sektor perkhidmatan dan pengurusan kewangan negara dengan anggaran RM984.06 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kes pembaziran itu melibatkan antaranya berkaitan peralatan ventilator yang dibeli tidak dapat digunakan, penangguhan projek monarel dan depoh bas yang tidak digunakan di Putrajaya.

Kata beliau, terdapat juga satu kes melibatkan pembayaran tidak teratur bernilai RM100,000 iaitu program pengurusan perkhidmatan ambulans dan perkhidmatan udara dilaksanakan sebelum pesanan tempatan.

Dalam pada itu, Syed Hamid Albar memberitahu, undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta SPRM sudah memadai untuk membawa mana-mana mereka didapati cuai apatah lagi membabitkan nilai jutaan ringgit.

“Bagi penjawat awam, ada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam untuk diambil tindakan, begitu juga pihak lain dengan akta sedia ada. Jika guna alasan cuai untuk tidak mengambil tindakan, sampai bila masalah ketirisan ini tidak akan selesai,” jelasnya.

Bagi Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sudah tiba masanya satu undang-undang khusus salah laku pegawai kerajaan perlu diwujudkan agar mereka yang cuai hingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah dan seterusnya dikenakan hukuman berat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN