Laluan berbumbung jadi parkir motosikal sewa di Pangkor - Utusan Malaysia

Laluan berbumbung jadi parkir motosikal sewa di Pangkor

ANGGOTA penguatkuasa MPM menyita motosikal yang di parkir di laluan berbumbung untuk pejalan kaki di Pulau Pangkor. - UTUSAN/IHSAN MPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memandang serius tindakan pihak tertentu menggunakan  laluan berbumbung sebagai parkir motosikal sewa di Pulau Pangkor.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md. Salleh menerima banyak aduan daripada penduduk Pulau Pangkor dan pelancong yang menghadapi kesukaran untuk berjalan kaki di kawasan tersebut.

“Aduan yang telah dilaporkan sehingga tular dalam media sosial mengenai isu lambakan parkir motor sewaan haram yang menyakitkan mata memandang serta menyukarkan pejalan-pejalan kaki di kawasan tersebut.

“Isu ini melibatkan imej dan keselamatan banyak pihak yang mana boleh memberi kesan kepada kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor seterusnya memberi impak kepada pendapatan penduduk dan peniaga di pulau itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, laluan berbumbung itu melibatkan di kawasan premis rumah kedai berhampiran Jeti Awam Pulau Pangkor, yang mana pelancong sering berjalan kaki ke situ untuk membeli barangan bebas cukai dan produk berasaskan hasil laut.

Menurutnya, penyalahgunaan laluan berbumbung untuk pejalan kaki sebagai tempat meletakkan kenderaan sewaan secara haram adalah tindakan menggunakan hak awam untuk tujuan peribadi.

Malangnya, jelas beliau, walaupun tindakan sitaan dan kompaun telah dikenakan tetapi ia didapati masih terus berlaku.

“MPM mengambil langkah sejajar dengan agenda utama Kerajaan Perpaduan iaitu mengutamakan rakyat dengan mengembalikan hak awam kepada rakyat bagi tujuan sebenarnya.

“Penyediaan laluan pejalan kaki yang selamat dan ruang perniagaan lebih luas dan selesa kepada pemilik premis perlu sebagai kemudahan awam dan meningkatkan aktiviti ekonomi di situ,” katanya.

Menurutnya, sebelum sebarang inisiatif diambil, MPM telah mengambil kira pelbagai aspek yang melibatkan pihak berkepentingan iaitu penduduk setempat, peniaga dan pelancong, kerana mahu suara setiap pihak harus didengari dan diambil kira.

Katanya, secara amnya, MPM menyediakan laluan secara sehala dan tempat meletakkan motosikal sementara khas untuk orang awam yang berurusan di bank atau premis perniagaan.

Selain itu, ruang untuk menurunkan penumpang dan barang juga disediakan untuk kemudahan dan keselesaan pemilik premis.

“Inisiatif yang diambil oleh MPM amat mementingkan hak pengguna awam dan bukan hanya mementingkan premis atau pemilik kenderaan sewaan secara haram tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, Pulau Pangkor merupakan destinasi pelancongan berstatus Pulau Bebas Cukai di Negeri Perak yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, justeru semua pihak harus memastikan imejnya sentiasa terpelihara manakala keselamatan dan keselesaan pelancong dititik beratkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya