KPT kaji pengajian di kampus, rumah kurangkan kos penuntut

KPT kaji pengajian di kampus, rumah kurangkan kos penuntut

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) menerima replika cek bernilai RM75 juta daripada Pengerusi Eksekutif Universiti Binary pada Majlis Pelancaran MyBinary Unity Scholarship di Dewan Muafakat Taman Sierra Perdana, Pasir Gudang, Johor, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengkaji beberapa kaedah untuk menambah baik sistem pengajian tinggi di negara ini termasuk mengurangkan kos pembelajaran para penuntut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah itu dengan mewujudkan sistem anjal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta memendekkan tempoh pengajian kursus terpilih.

Menurutnya, sistem anjal bertujuan mengurangkan kos sara hidup penuntut apabila mereka boleh menjalani pembelajaran secara hibrid, iaitu setengah tempoh pengajian di kampus dan setengah lagi di kediaman masing-masing.

“Menerusi sistem anjal, penuntut akan belajar di rumah beberapa semester, dalam tempoh tersebut mereka dapat mengurangkan kos sara hidup. Malah, yuran pengajian juga boleh dikurangkan kerana kurang penggunaan fasiliti universiti.

“Langkah ini dicadangkan ekoran pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian semasa tempoh pandemik Covid-19 lalu, jika ketika itu boleh dibuat mengapa sekarang tidak.

“Satu lagi cadangan untuk mengurangkan tempoh pengajian beberapa kursus daripada empat tahun menjadi tiga tahun, langkah ini juga akan dapat mengurangkan kos pengajian penuntut terlibat,” katanya selepas melancarkan Biasiswa Perpaduan MyBinary di Dewan Muafakat Taman Sierra Perdana, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi memberitahu, pihaknya juga sedang mengkaji langkah untuk mewujudkan tabung ‘endowment’ melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Menerusi tabung ini, masyarakat dapat menyumbang dana ke dalam PTPTN yang akan digunakan untuk menampung pembiayaan penuntut, dalam masa sama sumbangan itu melayakkan mereka untuk mendapat pengecualian cukai.

“Kesemua langkah ini difikirkan untuk membawa penambahbaikan dan kebaikan kepada lebih ramai penuntut di negara ini dalam usaha mengurangkan mereka dibebani hutang pendidikan terlalu tinggi selepas tamat pengajian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut memuji penambahbaikan peruntukan terhadap KPT menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

KPT menerima RM15.3 bilion peruntukan pada tahun ini berbanding RM14.5 bilion tahun lalu, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pendidikan tinggi demi manfaat dan pembangunan masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.