Koperasi mampu hapuskan kartel ayam - Menteri

Koperasi mampu hapuskan kartel ayam – Menteri

EWON Benedick melihat ayam kampung yang diternak oleh Ladang Ternakan Ayam Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad, Asahan, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam dapat menghapuskan sistem monopoli pasaran oleh kartel sedia ada, lantas menjamin kestabilan harga sumber protein itu yang masih tidak menentu sehingga kini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, buat masa ini statistik kementerian menunjukkan hanya 0.13 peratus koperasi di negara ini terlibat dalam aktiviti penternakan ayam.

Beliau berkata, ia bersamaan 21 daripada keseluruhan 15,315 koperasi berdaftar dengan penghasilan kira-kira 5.2 juta ekor ayam setahun.

“Kita tidak mewujudkan sasaran khusus, namun kementerian menggalakkan koperasi terlibat dalam sektor agro makanan (ternakan ayam) dan telah menguar-uarkan pembiayaan yang disediakan iaitu sebanyak RM3 juta.

“Namun, saya difahamkan oleh pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), seramai 20 koperasi telah menyatakan hasrat untuk memohon pembiayaan bagi sektor agro makanan (penternakan ayam) ini dan kita berharap jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Eksplorasi Ladang Ternakan Ayam Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad, Asahan di sini, hari ini.

Tambah Ewon, kerajaan turut menyediakan geran pembangunan sehingga RM300,000 kepada gerakan koperasi untuk mengembangkan projek agro makanan serta aktiviti hilirannya.

Jelasnya, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah mengenal pasti beberapa kawasan untuk dijadikan ladang tanaman bijirin untuk menghasilkan sendiri bekalan makanan ayam.

“Saya telah menyatakan di Parlimen bahawa Angkasa telah mengenal pasti kawasan-kawasan tertentu yang akan dijadikan ladang bijirin untuk bahan makanan ternakan ayam termasuk di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Selain penglibatan baharu koperasi dalam sektor ini, jumlah pengeluaran bekalan ayam juga dijangka dapat ditingkatkan dengan usaha penternak sedia ada yang giat meluaskan ladang masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya