Israel lucut kuasa Palestin ke atas Gua Patriark

Israel lucut kuasa Palestin ke atas Gua Patriark

SEORANG wanita melihat pintu pagar besi semasa sambutan Tahun Baharu Hijrah di Masjid Ibrahimi, dikenali sebagai Gua Patriark, yang terletak di dalam sektor H2 di bawah kawalan Israel di bandar Hebron, Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, melucutkan kuasa rakyat Palestin ke atas Gua Patriark, yang dikenali umat Islam sebagai Masjid Ibrahimi di Tebing Barat yang diduduki.

Langkah itu melibatkan pemindahan pengurusan tapak berkenaan kepada sebuah jawatankuasa Israel yang dikawal oleh Smotrich, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Dalam kenyataan di saluran Telegramnya, Smotrich berkata, tapak tersebut tidak lagi alam ditadbir oleh pihak berkuasa perbandaran di bandar Hebron, Tebing Barat.

“Keputusan ini bermaksud banyak kuasa yang sebelum ini diberikan di Hebron dan di tapak-tapak suci, termasuk Gua Patriark, kini tidak lagi berada di bawah kawalan Majlis Perbandaran Hebron,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu ketika menghadiri majlis meletakkan batu asas bagi penempatan Israel baharu berhampiran Hebron.

“Ini bukan sekadar langkah perancangan, tetapi langkah ke arah kedaulatan praktikal dan pentadbiran,” katanya menurut rakaman video acara berkenaan yang dikeluarkan partinya.

Hebron merupakan bandar terbesar di Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak 1967. Gua Patriark terletak di dalam kawasan H2, sektor bandar yang dikawal Israel di Hebron, menempatkan kira-kira 40,000 penduduk bersama sekitar 200 keluarga peneroka Israel.

Tapak itu dihormati oleh penganut Yahudi, Islam dan Kristian sebagai lokasi makam Nabi Ibrahim serta beberapa tokoh patriark dalam kitab.

Di bawah Protokol 1997, sebahagian besar pengurusan kompleks tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Palestin, namun pihak Palestin mendakwa kawalan itu semakin terhakis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah bersama kumpulan pemantau penempatan Israel, Peace Now, Yonatan Mizrahi, berkata keputusan terkini dibuat selepas mesyuarat Majlis Perancangan Tertinggi yang dikatakan dipengerusikan pihak berkaitan Smotrich.

“Mesyuarat pada Rabu lalu memutuskan bahawa tanggungjawab di Hebron akan dipindahkan daripada Majlis Perbandaran Palestin kepada pihak Israel,” katanya kepada AFP, sambil merujuk minit mesyuarat yang mengesahkan keputusan tersebut.

Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas bagaimanapun menolak langkah itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran perjanjian sedia ada dan undang-undang antarabangsa.

“Langkah unilateral ini ditolak dan dikecam,” menurut kenyataan pejabat Abbas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN