Kes Jana Wibawa: Wan Saiful mohon letak jawatan Ketua Penerangan Bersatu - Utusan Malaysia

Kes Jana Wibawa: Wan Saiful mohon letak jawatan Ketua Penerangan Bersatu

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan yang kini didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia, memohon untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, beliau ketika ini memohon supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh majlis pimpinan parti membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam jawatan itu.

Katanya, beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya jawatan Ketua Penerangan diganti dengan individu lain di dalam parti.

“Keputusan saya ini sesuai dengan prinsip, integriti dan semangat saya junjung selama ini dan saya menegaskan untuk membezakan antara saya dengan kluster mahkamah yang sedang bermaharajalela dengan PH dan BN hari ini.

“Jawatan Ketua Penerangan adalah jawatan eksekutif dari parti, maka saya lepaskan jawatan ini kerana ini jugalah pegangan yang saya yakini selama ini,
sehinggalah saya dapat membersihkan nama saya melalui melalui proses perundangan.

“Jadi, jangan sesekali ada mana-mana pihak cuba menyamakan saya dengan individu-individu lain dalam kluster mahkamah. Saya dengan suka hati, rela tanpa berbelah bahagi melepaskan jawatan saya.

“Dalam parti Bersatu ramai tokoh yang layak yang menjalankan tugas dan tanggungjawab. Jadi, yang ini biarlah ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti sendiri nanti,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, kata Wan Saiful, beliau akan kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan jika terdapat mana-mana pihak terus memburukkan namanya selepas ini, selain memberitahu akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Muhyiddin berbincang perkara seterusnya.

Katanya, tindakan melepaskan jawatan utama tidak memberi kesan yang negatif, sebaliknya memberi kesan positif kerana ia selaras dengan prinsip parti yang mana jika seseorang terlibat dalam kes mahkamah perlu ‘dicutikan’.

“Ini kerana apa yang kita perjuangkan selama ini kita laksanakan. Apabila kita kata ada kes mahkamah, maka perlu membela diri dan dicutikan, maka saya adalah orang yang mengambil tanggungjawab atas dasar tersebut.

“Saya juga merasakan ini membuktikan bahawa dalam Bersatu kita tidak teragak-agak untuk melaksanakan prinsip kita dan kita juga bukan bermuka-muka dalam menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Katanya, ramai tokoh politik di dalam Bersatu yang diyakini dapat mengambil alih jawatan tersebut malah lebih baik berbanding Wan Saiful sendiri.

“Sepanjang saya menjadi Ketua Penerangan pun, saya cuba sedaya upaya melibatkan orang ramai dalam kerja-kerja penerangan pada masa sama saya yakin bahawa proses latihan untuk mengambil tanggungjawab ini berjalan dengan baik selepas ini,” katanya.

Semalam, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dua bulan sekali.

Sementara itu di hadapan Hakim Suzana Hussain, ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad, 42, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan Program Jana Wibawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya