Kes berita palsu meningkat - Utusan Malaysia

Kes berita palsu meningkat

TEO Nie Ching (tengah) beramah mesra dengan pengunjung pada lawatan kerja di Medan Selera Stadium, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jumlah kes sebaran berita palsu di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 35 kes pada bulan lalu berbanding 48 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu dilihat tinggi dan kebarangkalian untuk Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima laporan berita palsu untuk disiasat pada tahun ini boleh mencapai lebih 350 kes.

“Sejak tahun 2020 hingga bulan lalu, jumlah kes yang disiasat SKMM adalah 444 kes. Bagi tahun lepas, hanya 48 kes sahaja yang dilaporkan.

“Tapi, Januari tahun ini, kita nampak ada peningkatan kerana dalam tempoh satu bulan, sudah ada 35 kes telah disiasat.

“Jadi, berdasarkan tren ini, mungkin bagi sepanjang tahun ini kes yang disiasat akan mencapai lebih 350 kes,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Perak di Medan Selera Stadium di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Perak, Mohd. Rizal Hashim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut beliau, bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara tidak terancam, kementerian memberi fokus utama mengawal penyebaran berita palsu termasuk ucapan berunsur kebencian di media sosial.

Katanya, langkah itu termasuk melalui peranan dimainkan agensinya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan serta kerjasama dengan penyedia media sosial untuk menurunkan segara kandungan yang tidak benar.

“Tanggungjawab jabatan ini apabila ada berita palsu, cepat-cepat keluarkan penafian atau betulkan kenyataan itu secepat mungkin supaya orang ramai ada akses dapatkan maklumat yang betul.

“Tetapi sifat berita palsu ini cepat jadi tular, jadi segala usaha untuk betulkan berita palsu itu, sudah jadi tak tular.

“Harap rakyat Malaysia akan jadi lebih celik digital dan janganlah banyak buat kenyataan palsu dan kandungan tidak sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya