PETALING JAYA: Sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka terhadap seorang individu berkaitan penyebaran berita palsu berhubung dakwaan kononnya Malaysia membekalkan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel ke Filipina.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihak berkuasa sudah mengesahkan diesel berkenaan milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau kerajaan Malaysia.
Katanya, peranti komunikasi dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
“Setakat semalam, sebanyak 47 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital susulan konflik di Asia Barat. Semua kes sedang dalam siasatan lanjut.
“Antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik naik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran.
“Selain pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura dan penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN










