Kerjasama Tourism Perak-Perak FC promosi pelancongan sukan - Utusan Malaysia

Kerjasama Tourism Perak-Perak FC promosi pelancongan sukan

LOH Sze Yee (dua dari kiri), Neow Choo Seong (tengah) dan Nurmalis Musa (dua kanan) menerima cenderahati iaitu jersi Perak FC pada MoU di antara Perak FC dan Tourism Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha Perak mempromosikan sukan melalui pelancongan akan dijalankan menerusi memorandum persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak dan Perak FC yang dimeterai di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, melalui MoU itu, pihaknya akan bekerjasama dalam sektor sukan dan mempromosikan sektor pelancongan.

“Kerjasama selama dua tahun ini melibatkan jaringan platform promosi dan pemasaran kedua-dua belah pihak termasuk penglibatan dalam acara yang dianjurkan kedua-dua pihak.

“Sudah pasti promosi melibatkan medium media sosial, cetakan serta medium digital yang lain ke arah mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024,” katanya pada majlis MoU sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perak FC diwakili oleh Pengarah Pembangunan Belia,  Neow Choo Seong dan majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Perak FC, Meor Azli Meor Mahmod.

Sementara itu, Choo Seong berkata, Perak FC sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dan kerjasama itu merupakan serampang dua mata bagi kedua-dua pihak.

“Saya melihat apa yang boleh kita sumbangkan kepada kerajaan negeri adalah melalui pelancongan sukan dan kita memainkan peranan mempromosikan Perak ketika perlawanan di Ipoh dan luar Ipoh.

“Kita harapkan dapat jadikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan sukan. Kerjasama ini tidak melibatkan implikasi kewangan atau tajaan tetapi lebih kepada situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Chong Yu Ken berkata, penganjuran MATTA Fair Perak selama dua hari di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) melibatkan penyertaan lebih 35 pemain industri pelancongan, dijangka dihadiri 20,000 pengunjung.

Yu Ken berkata, pihaknya menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM23 juta sepanjang pameran yang akan dibuka kepada pengunjung dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Menurutnya, Tourism Perak, Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama pemain industri pelancongan akan menyertai pameran kali ini.

“Kita juga berharap para pemain industri ini akan terus bersama-sama membantu memulihkan kembali industri pelancongan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.