Kerjasama syarikat swasta, tarik minat kaum wanita sertai TVET

Kerjasama syarikat swasta, tarik minat kaum wanita sertai TVET

V. SIVAKUMAR bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menunjukkan sijil pengiktirafan antabangsa Zero Project Award di Cyberview Resort and Spa, Cyberjaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) merancang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta di negara ini bagi menarik minat lebih ramai kaum wanita menyertai kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menterinya, V. Sivakumar berkata, perancangan itu dijangka dilaksanakan pada tahun ini, selepas kerajaan selesai menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan 10 pemain industri dalam memperkasa program tersebut.

“Kita akan tanda tangan MoA dengan 10 syarikat-syarikat besar dahulu dan selepas itu kita turut merancang untuk membuka lebih banyak ruang kepada syarikat lain, dari situ kita akan lihat bagaimana kita boleh bekalkan program-program untuk menarik minat pelajar wanita untuk sertai TVET,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelaksanaan bengkel Young Employable Students (YES!) kendalian Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai institusi TVET yang secara amnya didominasi oleh golongan lelaki di negara ini.

Semalam, Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan berkata, pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan swasta disaran menitikberatkan mengenai pembabitan golongan wanita dalam TVET dan mitos sektor pendidikan teknikal hanya dikuasai golongan lelaki perlu dihapuskan.

Sivakumar menjelaskan, walaupun sebahagian besar penglibatan dalam bidang TVET membabitkan kaum lelaki, namun tiada sebarang halangan diletakkan sekiranya terdapat golongan wanita yang ingin mengikuti kursus berkenaan.

“Misalnya seperti kursus mekanikal dan kimpalan, mereka rasa ia untuk kaum lelaki (sahaja) tetapi kita juga ada pelajar wanita yang turut mengambil kursus kimpalan dan ia nya terpulang kepada minat serta kebolehan mereka sendiri.

“Di KSM sendiri memang kita galakkan lebih ramai pelajar perempuan untuk sertai kursus TVET supaya mereka dapat memenuhi permintaan industri terutamanya pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, bengkel YES! bagi tahun 2023 akan melibatkan lebih ramai bakat muda dan siswazah termasuk bakat TVET dalam membantu mereka melakar kerjaya.

“Pelaksanaan inisiatif YES! yang bermula sejak 2019 telah memanfaatkan lebih 30,000 pelajar dan graduan dengan usaha sama KSM menerusi TalentCorp, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, rakan industri, akademia dan rakan strategik.

“Kita percaya dengan komitmen tinggi TalentCorp, mereka mampu mencapai sasaran seramai 6,000 pelajar untuk menyertai inisiatif YES! pada tahun ini,” ujarnya.

Pada 7 Februari lalu, media melaporkan, TVET dijangka menerima ‘lonjakan’ apabila sebanyak 10 syarikat akan terlibat memperkasakan program tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemain industri itu akan memeterai memorandum perjanjian terus dengan pihak kerajaan, antaranya melibatkan syarikat petroleum nasional, Petronas dan firma automotif, DRB Hicom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN