KOTA BHARU: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan ketika ini masih belum mampu meyakinkan rakyat untuk memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, gabungan itu perlu bekerja keras dan merangka strategi konklusif untuk mengikis persepsi negatif terhadap PH dan BN dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Saya lihat bukan sesuatu yang mustahil untuk rakyat Kelantan menerima bentuk kerjasama PH dan BN, ditambah pula dengan beberapa kelemahan dasar pembangunan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
“Kemenangan ‘total’ Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu mampu ditangani dengan kebijaksanaan strategi naratif yang boleh dimainkan oleh gabungan itu di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Iskandar Hasan memberitahu, pada masa yang sama gabungan PH dan BN perlu lebih agresif mendekati golongan muda yang telah memberikan kemenangan mutlak kepada Pas pada PRU15 lalu.
Katanya, kerja keras untuk mendekati golongan itu perlu disusun dengan sebaik mungkin bagi memastikan rakyat Kelantan memilih PH dan BN untuk mentadbir negeri ini.
“Gabungan PH dan BN mampu mengancam kedudukan Pas di negeri ini sekiranya berlaku persefahaman yang lebih jitu antara jentera kedua-dua parti itu untuk menghadapi gelombang hijau,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas meramalkan kerjasama PH dan BN dijangka berdepan konflik dari segi pembahagian kerusi pada PRN nanti.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu berdasarkan kepada pengalaman Pas yang pernah bekerjasama dengan BN sebelum ini.
“Pengalaman kita dengan UMNO sebelum ini, dia mahu kerusi banyak dan sebab itu kita tidak boleh bekerjasama dengan mereka pada PRU15 lalu.
“Dia mahu jadi ‘abang besar’ dan saya jangka suasana yang sama juga akan berlaku di antara PH-BN terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai UMNO,” katanya. – UTUSAN










