KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk di negeri-negeri Pantai Timur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam hal ini, peruntukan telahpun disalurkan ke beberapa negeri yang terjejas termasuk Kelantan dan Terengganu dengan lebih awal iaitu sebelum berlakunya banjir.

“Kita telah menyalurkan bantuan lebih awal dari musim banjir iaitu sebanyak RM280 juta telah disalurkan sebelum musim banjir, umpamanya untuk Kelantan RM68 juta disalurkan awal, Terengganu RM68 juta.
“Kita tidak pilih kasih cuma prasangka sering dilemparkan pada NADMA, tapi bukan saya. Saya fikir dalam menangani masalah banjir dalam keadaan warna-warna politik khususnya di kawasan luar bandar yang terkesan daripada banjir, kita tetap akan lakukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta menteri menyatakan perancangan dan pelan tindakan kerajaan dalam melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur serta kemudahan luar bandar pasca banjir daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi kerajaan berkaitan. – UTUSAN










