JAKARTA: Tiga orang pendaki, termasuk dua warga asing, maut selepas Gunung Dukono di pulau Halmahera di timur Indonesia meletus semalam, memuntahkan abu setinggi kira-kira 10 kilometer ke udara.
Seramai 15 pendaki berjaya turun dengan selamat di kawasan yang sudah diisytiharkan dilarang masuk sejak bulan lalu selepas saintis mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Menurut agensi pengurusan bencana Indonesia (BNPB), lima pendaki turut cedera dalam letusan tersebut.
Ketua Polis Daerah Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu berkata, operasi menyelamat dijalankan di kawasan berbukit dan sukar yang hanya boleh diakses kenderaan di sebahagian laluan sahaja.
“Mangsa perlu dibawa menggunakan pengusung dan masih ada gegaran daripada letusan yang melambatkan proses pemindahan,” katanya.
Ketua Agensi Geologi, Lana Saria berkata, letusan awal pagi itu disertai bunyi letupan kuat dan kepulan asap tebal berbahaya dari puncak Gunung Dukono.
“Arah taburan abu lebih cenderung ke utara, jadi kawasan kediaman dan Kota Tobelo perlu berwaspada terhadap hujan abu gunung berapi.
“Asap tersebut boleh membahayakan kesihatan awam serta berpotensi mengganggu perkhidmatan pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan.-AFP










