KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sebarang cukai termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menampung kenaikan hutang negara.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya yang miskin tidak terus dibebani.
“Kita tidak bercadang untuk perkenalkan GST atau cukai kepenggunaan berasas luas, yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti mana yang dilakukan subsidi elektrik.
“Sepertimana saya jelaskan dalam sesi Dewan lalu walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah batalkan dan mengenakan cukai itu kepada T20 iaitu syarikat besar melainkan syarikat yang terlibat dalam isu food security,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Wong Kah Woh (Taiping) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Kah Woh dalam soalan tambahannya menyatakan adakah Perdana Menteri akan memperkenalkan cukai baharu kepada rakyat bagi menampung hutang negara yang semakin meningkat.
Dalam masa yang sama, Anwar turut menjelaskan terdapat beberapa langkah lain yang boleh dibuat dalam mengurangkan ketirisan seperti dalam isu subsidi diesel sebanyak RM20 bilion.
“Maknanya kalau boleh selamatkan RM5 ke 6 billion daripada ketirisan itu, ia akan membantu, begitu juga beberapa hal lain penjanaan pertumbuhan ekonomi, kesediaan pelabur domestik dan asing yang mula masuk ke dalam negara, saya percaya hasil akan meningkat tanpa membebankan rakyat secara umum,” ujarnya lagi. – UTUSAN











