Kerajaan lancar IPR, bantu rakyat

Kerajaan lancar IPR, bantu rakyat

RAFIZI Ramli bersama Amirudin Shari (dua dari kiri) dan Aminuddin Harun (kanan) bergambar bersama penerima-penerima sijil pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat di LRT Cempaka, Ampang, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Bagi membantu isi rumah miskin dan B40, kerajaan melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai langkah dalam memastikan mereka keluar daripada ‘kepompong’ kesusahan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IPR memfokuskan kepada penjanaan pendapatan rakyat berbanding sebelum ini kerajaan memberi kelengkapan perniagaan tetapi tiada kepastian sehingga wujudnya risiko tergelincir kembali ke kategori miskin tegar.

Oleh kerana itu, menurut beliau, kerajaan sudah merangka templat-templat penjanaan pendapatan yang diyakini dapat membantu objektif tersebut dan mampu mewujudkan ekosistem yang baik.

“Ada bertanya, kenapa kerajaan tak bagi sahaja wang setiap bulan iaitu RM2,000 untuk keluar daripada garis kemiskinan. Satunya ia tidak berlaku adil kepada yang lain dan keduanya garis kemiskinan meningkat setiap tahun iaitu sekarang RM1,900 tetapi dua tahun nanti besar kemungkinan mencecah RM2,000 lebih.

“Jika kita ambil jalan itu tanpa menyediakan ekosistem yang mampan dan boleh memberi kelangsungan maka sampai bila-bila tidak dapat melaksanakan pembasmian miskin tegar. Ini beza kita tumpukan sekarang melalui IPR,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran IPR di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun iaitu dua kerajaan negeri terawal yang menyatakan komited untuk menjayakan program tersebut.

Ketika ini, negara mencatatkan sebanyak 126,372 isi rumah miskin tegar iaitu yang berdaftar di dalam eKasih dan terdapat 2.91 juta isi rumah berada di dalam kategori B40.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kerajaan juga mensyaratkan mesti perlu ada pertanggungjawaban bagi setiap penerima IPR dan menyertai Koperasi Basmi Miskin Tegar (Kobmit).

Jelasnya, selain memberi bantuan secara sekali gus, kerajaan mengambil pendekatan berbeza pada kali ini dengan memberikan wang bantuan pada setiap bulan sepanjang tempoh kawal selia iaitu 24 bulan dan jumlah keseluruhan bantuan itu juga dikatakan sama atau lebih dari yang pernah ditawarkan sebelum ini.

“Ekosistem bakal terbentuk ini terdapat tiga kumpulan utama iaitu kumpulan penerima daripada isi rumah miskin tegar dan B40, kedua adalah kumpulan pembimbing yang terdiri daripada peniaga setempat, sukarelawan dan juga agensi kerajaan. Terakhir, rakan niaga atau rakan strategik seperti kumpulan peruncitan utama negara,” jelasnya.

Katanya, dalam membasmi kemiskinan kerajaan juga dalam usaha memastikan masalah struktur ekonomi negara diselesaikan seperti masalah harga barang, bekalan makanan dan sebagainya.

“Sebab itu kita menggunakan strategi serampang dua mata iaitu melalui IPR, pada masa sama menyelesaikan masalah struktur-struktur ekonomi bagi memastikan masalah tidak berulang dan manfaat diterima masyarakat.

“Sebagai contoh, Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan),” katanya.

Tambahnya, bagi menoktahkan miskin tegar dalam negara perlu tanggungjawab bersama, iaitu kementerian-kementerian berganding bahu dan segala bantuan mahupun program sedia ada juga akan diselaraskan melalui IPR.

“Sebab itu kita mula dengan 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan dan insya-Allah saya akan pergi dari negeri ke negeri untuk berjumpa setiap Menteri Besar untuk meminta tanah, sebab kita jangka akan ada banyak pemohon dari seluruh negara.

“Ini bagi memastikan peluang untuk menyertai program-program IPR ini dibuka seluas-luasnya kepada kumpulan sasaran seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya