'Kenapa mesti selalu fitnah makanan?' - Utusan Malaysia

‘Kenapa mesti selalu fitnah makanan?’

KONSEP Menu Rahmah kini tertumpu kepada sektor makanan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kenapa ya, semua penyakit dekat Malaysia ni, mesti dikaitkan dengan makanan?”

Demikian persoalan dilontarkan pakar perubatan yang juga doktor selebriti, Dr. Malar Santhi Santherasegapan dalam ‘celotehnya’ di TikTok, menjurus kepada pertikaian serta cakap-cakap mengenai isu pemakanan yang dipercayai dikaitkan dengan Menu Rahmah ketika ini.

“Autisme, salah makanan. Kanser, salah makanan. Kalau kandungan gugur, salah makanan. Bersalin pramatang, hah dia tu salah makan sebab tu anak dia lahir pramatang. Tak boleh mengandung, salah makanan juga. Suami cari, suami main kayu tiga, salah makanan juga.

“Kenapa semua penyakit dan semua masalah di Malaysia ini dikaitkan dengan makanan? Pernah tak kita terfikir bukan semua penyakit berpunca daripada makanan? Ada penyakit berpunca daripada virus, ada penyakit berpunca daripada keturunan, ada penyakit berpunca daripada environment (persekitaran), rokok, asap. Ada penyakit berpunca daripada lifestyle (gaya hidup), tak bersenam, arak. Ada penyakit berpunca daripada gatal cari penyakit, cari perempuan ha lepas tu engkau dapat macam-macam. Betul tak?

“Jadi kenapa kita mesti selalu fitnah makanan?” Soalnya.

Beliau yang juga pegawai perubatan di sebuah hospital swasta memberi contoh penyakit kanser dengan punca sebenar masih belum ditemukan oleh sesiapa terutama persoalan mengenai apa yang menyebabkan sel dalam tubuh manusia tiba-tiba berubah sifat dan bentuk serta membiak menjadi sel kanser.

“Apa yang menyebabkan permulaan proses itu, tiada siapa jumpa lagi dalam dunia ni. Cumanya ada sesetengah kanser, ada dah dijumpai punca contohnya macam kanser pangkal rahim, ia adalah 95 peratus disebabkan oleh human papillomavirus.

“(Itu) virus ya bukan makanan. Jadi, jumpalah macam punca (kanser). Tapi kanser-kanser lain macam kanser kolorektor, kanser tulang, kanser otak, kanser payu dara, kebanyakannya tak jumpa punca sebenar. Kebanyakannya kita hanya boleh jumpa kesinambungan dari segi genetik iaitu penyakit keturunan ataupun risiko kalau merokok ataupun penggunaan tobacco (tembakau) meninggikan risiko dapat kanser.

“Tapi nak kata punca orang yang makan dekat hotel five star (lima bintang) mesti tak dapat kanser, orang yang makan dekat warung mesti dapat kanser, no (tidak), tiada kaitan macam tu,” katanya.

Menurutnya, sudah tentu pemakanan tidak sihat boleh menyebabkan meninggikan risiko kanser dalam seseorang.

“Tetapi pemakanan tak sihat yang macam mana tu? Makan burger, makan nuget, makan sosej iaitu makanan yang diproses secara tinggi, ya meninggikan risiko kanser. Tapi kalau makan sayur, ayam, kobis, telur, tak kisahlah makan dekat hotel lima bintang, makan dekat warung tepi jalan, saya tak faham kenapa ia perlu dikaitkan dengan penyakit seperti kanser ataupun autisme?

“Jadi, makcik siapa yang kaitkan makanan dengan semua penyakit dalam dunia ni ha? Makcik korang ke?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN