PONTIAN: Jika banyak restoran kini mula menjual ‘Menu Rahmah’, Kedai Makan Perpaduan di Kampung Rimba Terjun, dekat sini sebenarnya sudah menjual hidangan ‘serupa’ dengan harga RM5 sejak sedekad lalu.
Kini perniagaan tersebut yang diusahakan oleh A. Karim Belohik, 76, diuruskan oleh menantu dan anaknya, Sipon Sawab, 60; Mazlizah, 56, bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah serta pekerja kilang berhampiran.
Sipon berkata, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperkenal Menu Rahmah, kedainya telah memulakan jualan seumpama itu lebih awal, iaitu pada 2013.
Menurutnya, setiap hari sebanyak 30 ekor ayam dan 20 kilogram nasi dimasak dengan bantuan tiga anaknya dan mula dijual kepada orang ramai pada pukul 10.30 pagi hingga habis.
“Alhamdulillah, jualan saya biasanya akan habis pada pukul 2 petang dibeli oleh pelanggan daripada pelbagai lapisan umur yang datang serta pekerja kilang di hadapan restoran ini setiap hari.
“Ada 15 menu pelbagai jenis lauk-pauk seperti ayam, ikan, sayur-sayuran, boleh pilih sahaja bersama nasi dengan harga RM5 sepinggan atau sebungkus, ramai tak percaya dengan harga kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dia hanya meneruskan perniagaan yang telah diusahakan oleh bapa mentuanya yang menjual pelbagai jenis makanan dengan harga rendah.
“Saya dan isteri serta anak-anak menyambung legasi yang dimulakan bapa mentua bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah mendapatkan makanan berdasarkan kemampuan mereka,” katanya sambil memberitahu akan ke Pasar Besar Pontian bagi mendapatkan pelbagai barangan basah untuk dimasak seawal pukul 8 pagi.
Sebelum menjual makanan tengah hari, kedainya juga menjual sarapan seperti nasi lemak, mi goreng dan lontong.
Mengenai keuntungan, Sipon percaya walaupun sedikit, iaitu cuma 50 sen bagi setiap hidangan namun apabila ramai yang datang, pasti ada rezeki dan kedai tersebut mampu bertahan hingga kini.
Sipon berharap, peniaga lain juga boleh mengambil pendekatan sama walaupun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah, namun masih ada keuntungan jika ramai yang datang membelinya. – UTUSAN










