KDN pastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, tidak tertangguh - Utusan Malaysia

KDN pastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, tidak tertangguh

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tiga dari kiri) mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan peruntukan Belanjawan 2023 untuk melaksanakan projek-projek di bawah kementerian berkenaan berjalan lancar demi kebajikan anggota keselamatan tersebut.

Antaranya peruntukan sebanyak RM500 juta yang diumumkan untuk menyelenggara dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN serta Rumah Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang disifatkan cukup melegakan dalam menjaga kebajikan anggota.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan tersebut secara tidak langsung memberi keselesaan kepada anggota bertugas apabila bakal mempunyai kediaman yang lebih kondusif.

Justeru katanya, pihak kementerian akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan perancangan pelaksanaan tersebut berjalan dengan lancar.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan tersebut demi menjaga kebajikan anggota keselamatan ini.

“Pengumuman tersebut sangat melegakan dalam menjaga kebajikan anggota bertugas yang memerlukan kediaman yang lebih kondusif dan yang kedua pembiayaan untuk mengadakan kemudahan di pintu-pintu masuk sempadan yang turut diumumkan. Peruntukan yang diluluskan untuk menaik taraf kuarters saya lihat itu sangat penting.

“KDN akan komited untuk memastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar dengan kos yang terbaik, kawal daripada sudut tatakelolanya dan kawal dari segi perjalanan projek supaya dilaksanakan siap dan tidak tertangguh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Padang Besar di sini hari ini.

Semalam Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN serta Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Selain itu, kerajaan juga akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot Maritim Malaysia.

Dalam masa sama, agensi-agensi di bawah KDN juga akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu, keputusan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian masih belum diputuskan memandangkan ia perlu mengambil kira pelbagai aspek khususnya keselamatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya