PONTIAN: Kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik pelabur baharu dari Belanda dan Austarlia, sekali gus mengekalkan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasil lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura baru-baru ini, beberapa syarikat antarabangsa dari kedua-dua negara tersebut menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini.
Menurutnya, pelabur dari negara berkenaan turut memuji keupayaan Johor menerusi Invest Johor selain Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membantu mempercepatkan proses dokumen untuk melabur di Johor.
“Justeru, satu misi perdagangan ke Belanda dan juga China akan diadakan bagi menarik pelaburan syarikat antarabangsa ke Johor dalam masa terdekat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Simpanan Bitumen di ATB Tanjung Bin, di Pusat Petroleum Tanjung Bin, Serkat, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Werner dan Pengurus Besar ATB, Quinten vam Dam Merrett.
Ditanya tentang sasaran, Onn Hafiz menyasarkan jumlah pelaburan ke Johor pada tahun ini menyamai nilai yang dicapai pada suku ketiga tahun lalu, iaitu RM63.9 bilion.
“Pada masa yang sama kerajaan negeri akan terus meningkatkan keupayaan untuk menarik lebih banyak pelabur,” katanya.
Beliau yakin kehadiran syarikat pelaburan besar termasuk dari China akan membantu meningkatkan pendapatan negeri, selain menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – UTUSAN










