KUALA LUMPUR: Akta pendanaan politik akan diwujudkan setelah penelitian dibuat oleh pihak yang berkaitan sebelum ia dibentangkan ke Jawatankuasa Pemilihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya bagaimanapun komited untuk meneruskannya dan berharap ia dapat dibuat dalam masa terdekat.
“Kita telah memberikan penjelasan dan ada komitmen untuk teruskan, tetapi di peringkat awal setelah kita lihat laporan yang dikemukakan, saya percaya jabatan berkenaan akan meneliti termasuk Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), parti-parti politik sebelum ia dikemukakan ke Jawatankuasa Pemilihan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, lo Su Fui (Tawau) meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan susulan kerajaan berhubung cadangan penggubalan undang-undang berkaitan pendanaan politik dan adakah ia akan diusahakan dalam masa terdekat.
Anwar dalam masa yang sama turut memaklumkan SPRM kini lebih menumpukan kepada kes besar supaya pengurusan kes berkaitan menjadi lebih efektif.
“Penumpuan SPRM kini adalah kes yang berskala besar kerana kalau dulu kita buang masa dan tenaga untuk tumpukan perhatian tangkap ikan bilis dan ini tidak akan membantu.Sasaran utama SPRM adalah pengurusan efektif berkesan dalam isu pencegahan, dalam masa yang sama keyakinan masyarakat usaha memerangi rasuah.
“Beberapa kes yang saya sebut berskala besar termasuk skandal air terbesar di Sabah melibatkan infrastruktur RM3.3 billion melalui Ops Water, setakat ini aset recovery RM63 juta dan kes masih di mahkamah. Kedua, sindiket bitcoin mencuri bekalan elektrik kerugian RM2 ke RM3 billion bagi tempoh 2018 sehingga 2021 Ops Power,” katanya. – UTUSAN











