Jangan terlibat mogok mengejut, datang jumpa saya - Zaliha

Jangan terlibat mogok mengejut, datang jumpa saya – Zaliha

Kumpulan doktor kontrak terus mendesak kerajaan selesaikan segera isu perjawatan mereka. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menggesa mana-mana petugas kesihatan agar tidak atau cuba terlibat dalam mogok mengejut. 

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini kerana perkara itu tidak menyelesaikan sebarang masalah. 

Sehubungan itu, katanya, jalan yang terbaik adalah berjumpa dengannya atau berhubung dengan mana-mana pegawainya untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian. 

“Saya sebenarnya mendengar bahawa akan dilakukan mogok mengejut dan sama ada berlaku atau tidak berlaku, saya sendiri tidak ada kepastian. 

“Tetapi apa-apa pun kita minta supaya semua yang mungkin terlibat atau yang cuba terlibat tentang perkara ini kena tahu bahawa itu tidak menyelesaikan masalah, jadi yang terbaiknya ialah kita bersemuka. 

“Oleh itu, saya minta kepada semua berfikir dengan lebih matang, boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai-pegawai saya dan insya-Allah kita bertemu dan bersemuka untuk selesaikan masalah ini bersama demi kebaikan semua pihak,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, petang ini. 

Jelas Zaliha, beliau sangat memahami tentang masalah itu kerana latar belakangnya sendiri sebagai adalah seorang doktor. 

“Saya bertekad sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ini, kalau boleh hari ini…hari ini juga saya nak selesaikan.

“Tetapi kita kena faham bahawa ini memerlukan sedikit masa untuk saya memahaminya lebih mendalam, untuk saya memahamkan perkara ini sebaiknya supaya pencapaian terbaik kita dapat laksanakan,” katanya. 

Biarpun tidak memperincikan siapa dan masalah apa, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isu yang membelenggu sistem kesihatan negara terutamanya melibatkan doktor kontrak, kesesakan di pusat kesihatan kerajaan dan kekurangan pegawai perubatan. 

Ahad lepas, media melaporkan, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How membangkitkan kebimbangan mengenai pegawai kesihatan yang berpotensi melakukan mogok mengejut. 

Beliau menjangkakan kemungkinan mogok itu melibatkan ramai doktor kontrak dan kerajaan sepenuh masa di seluruh negara, termasuk dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak. 

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok.

Malah, Utusan Malaysia pada 7 Februari lepas melaporkan, Gerakan Hartal Doktor Kontrak bersedia mela­kukan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan terus ‘membisu’ dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan negara dalam tempoh tiga bulan ini.

Menurut jurucakapnya, mogok besar-besaran itu akan membabitkan gabungan doktor pergigian, pegawai farmasi dan semua pekerja kesihatan kontrak kementerian yang lain. 

“Tetapi itu nanti, kita tunggu dulu. Kalau dalam dua atau tiga bulan masih sama atau tak ambil tindakan, maka mungkin terpaksa buat hartal 2.0. 

“Setakat ini masih awal mahu katakan pimpinan baharu gagal atau tidak,” katanya. 

Dalam laporan itu, jurucakap tersebut dalam masa sama membangkitkan kekecewaan selepas pihaknya masih belum mendapat sebarang tarikh pertemuan dengan Zaliha seperti yang dimaklumkan pada Disember tahun lalu. 

“Kata mahu jumpa… minta kami sediakan masalah yang dibelenggu doktor kontrak, apabila sudah beri, semua macam berdolak dalik…banyak alasan (untuk jumpa). 

“Setiausaha Politik (Dr. Zaliha) berhubung dengan kami sejak awal Disember, tetapi sampai sekarang tidak ada tarikh (perjumpaan), asyik katakan Yang Berhormat (Menteri Kesihatan) sibuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya