Jangan pendam masalah rumah tangga - Utusan Malaysia

Jangan pendam masalah rumah tangga

NORMAZIAH Sheikh Mohamed ditemui pemberita pada pelancaran Kelab Wanita Ikon Perak di Ipoh semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Wanita yang berdepan kemelut rumah tangga sehingga diabaikan suami harus berani tampil kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, wanita perlu bangkit dan berani tampil meluahkan masalah yang dihadapi demi perkembangan anak-anak.

“Wanita perlu berani mengambil keputusan yang baik demi masa depan anak-anak kerana ibu adalah pendidik.

“Jika masalah yang membelenggu itu dipendam, lambat laun ini boleh memberi kesan buruk khususnya kepada emosi anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Wanita Ikon Perak dan Kempen ‘Are You Okay’ cawangan negeri di sini semalam.

Turut hadir Wanita Ikon Perak, Naziah Pir Khan dan Pengarah (Kawal Selia) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Hanita Izam Abdul Rahman.

Menurut Normaziah, pihaknya yang mengendalikan isu rumah tangga mendapati ramai wanita tidak berani ke depan apabila mengalami masalah dalam perkahwinan.

Menurut Normaziah, ramai wanita tidak mahu tampil ke depan kerana bimbang orang lain yang menghakimi masalah rumah tangga yang mereka hadapi.

“Itulah masalahnya, jadi jangan takut untuk ke depan supaya kita dapat membantu, banyak perkara kita boleh bantu terutamanya dari sudut motivasi dan kekuatan.

“Mungkin pada permulaannya mereka akan rasa takut tapi jangan tunggu sehingga masalah rumah tangga ‘meletup’ baru mereka rasa dan nampak yang sebenarnya ramai yang sudi membantu mereka khususnya badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Mengenai pelancaran kempen ‘Are You Ok‘, Normaziah berkata, fokus utama kempen itu ialah untuk menangani masalah psikososial yang semakin membimbangkan dalam kalangan wanita yang mengalami masalah dalam perkahwinan.

Menurutnya, sembilan aktiviti akan dilaksanakan untuk kempen itu antaranya KWIM Peduli yang mana pihaknya menyediakan khidmat sokongan bantuan guaman kepada mangsa penderaan rumah tangga.

“Ia termasuk khidmat nasihat kepada wanita teraniaya daripada keganasan rumah tangga termasuk buli siber dan sebagainya.

“Antara objektif kempen ini termasuk membantu kumpulan sasar mengenalpasti kebolehan, minat, potensi dan kepuayaan diri serta menyediakan peluang penyelidikan dan penerbitan berkaitan isu sosial, kebajikan dan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya